Pengusaha pam minyak mahu sistem subsidi teratur, elak jejas operasi

Pengusaha pam minyak mahu sistem subsidi teratur, elak jejas operasi

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak bimbang dengan cara mengenal pasti pemilik kenderaan yang layak dan bagaimana subsidi itu akan dikembalikan kepada pengusaha stesen minyak.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia meminta kerajaan meningkatkan kadar subsidi minyak bersasar itu kerana 100 liter petrol bagi kereta dan 40 liter bagi motosikal tidak mencukupi.
PETALING JAYA:
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mahu Putrajaya menjelaskan mekanisme pelaksanaan subsidi minyak tersasar bagi pemilik kereta dan motosikal yang layak seperti diumumkan dalam Bajet 2019.

Presiden Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz bimbang dengan cara mengenal pasti pemilik kenderaan yang layak dan bagaimana subsidi itu akan dikembalikan kepada pengusaha stesen minyak.

Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk memberikan subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter buat kereta berkapasiti enjin 1500cc ke bawah dan terhad kepada 100 liter sebulan, dan 30 sen seliter buat motosikal berkapasiti enjin 125cc ke bawah dan terhad kepada 40 liter sebulan.

“Subsidi itu baik tetapi sudah tentu peniaga-peniaga di stesen minyak tidak tahu cara mengenal pasti penerima subsidi itu.

“Apa yang dibincangkan adalah mekanisme pengenalpastian golongan bersasar itu dibuat dengan lebih teratur dan kita juga mahu tahu sama ada penerima yang mendapat subsidi itu akan diperiksa di tempat kaunter juruwang atau pam minyak.

“Ini untuk memastikan kelancaran operasi kami dan modal kami tidak terjejas. Kami menghargai usaha memberi subsidi bersasar itu yang mahu membantu orang miskin,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman meminta kerajaan meningkatkan kadar subsidi minyak bersasar itu kerana jumlah itu tidak mencukupi.

“Cuma saya harapkan semak jumlah liter itu, 100 liter agak kecil. Tidak begitu banyak nak tampung.

“Sebahagian rakyat Malaysia duduk jauh luar dari Kuala Lumpur seperti Seremban. Jumlah 100 liter tak cukup untuk pengguna kereta dan 40 liter untuk pengguna motosikal juga tidak cukup.”

Pas bulanan tanpa had

Dalam perkembangan lain, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk menyediakan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan yang meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL kepada hampir 1 juta pengguna, mulai 1 Januari depan.

“Prasarana yakin dengan pengenalan inisiatif ini dapat menggalakan lagi penduduk di Lembah Klang untuk memilih pengangkutan awam sebagai pilihan utama mod pengangkutan, bukan sahaja untuk pergi dan balik dari tempat kerja, malah untuk beriadah pada hujung minggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengendali perkhidmatan pengangkutan awam utama negara kitu berkata, pemberian pas itu akan mengurangkan beban pengguna, mengurangkan jumlah kenderaan dan kesesakan di dalam pusat bandar serta mencapai matlamat Kuala Lumpur bebas karbon.

Prasarana turut menyambut baik hasrat kerajaan meneruskan projek LRT3 sepanjang 37km dengan pengurangan kos RM31.6 bilion kepada RM16.6 bilion.

“Kami yakin projek LRT3 akan melengkapkan lagi rangkaian pengangkutan awam bandar bagi koridor Bandar Utama melalui Shah Alam hingga ke Klang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.