Pembangkang dakwa Bajet 2019 ‘kecewakan’ rakyat

Pembangkang dakwa Bajet 2019 ‘kecewakan’ rakyat

Najib Razak, Zahid Hamidi dan Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kerajaan PH tidak penuhi janji PRU14, tidak peduli rakyat dan tiada peruntukan untuk wilayah Pantai Timur.

Pengumuman beberapa subsidi tidak memadai dengan janji kepada rakyat pada PRU14.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak memenuhi janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu dalam Bajet 2019, termasuk janji untuk menghapuskan tol.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata walaupun kerajaan ada mengumumkan beberapa subsidi, namun ia tidak memadai dengan janji kepada rakyat yang dilakukan ketika PRU14, Mei lalu.

“Begitu juga dengan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, mereka janji gaji RM4,000 ke bawah tidak perlu membayar, sebab itulah ramai anak muda sokong mereka tetapi sebaliknya hanya peminjam yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah sahaja dikecualikan,” katanya selepas pembentangan Bajet 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada pembentangan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu, katanya, kerajaan PH juga hanya mengulangi perancangan yang dibentangkan oleh kerajaan pimpinanya dahulu.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan belanjawan pertama PH tidak memberikan titik sentuhan kepada rakyat.

“Kita lihat tidak ada pun peruntukan khusus untuk petani dan nelayan serta mereka yang menjadi pekebun-pekebun kecil terutama apabila harga komoditi ini jatuh,” kata Presiden Umno itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata hampir tiada agenda besar dibuat sebagai pemangkin kepada pembangunan wilayah Pantai Timur dalam Bajet 2019.

“Masa komen Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam kajian RMK-11 (Rancangan Malaysia Ke-11), antara yang dibangkitkan ialah pembangunan seimbang wilayah.

“Tetapi, kita tengok belanjawan kali ini hampir tiada, malah tidak digambarkan dalam data yang jelas tentang pembangunan khusus kawasan wilayah Pantai Timur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.