Lindungi wanita, jangan permudahkan poligami, kata aktivis

Lindungi wanita, jangan permudahkan poligami, kata aktivis

Adalah lebih baik kerajaan menggubal undang-undang bagi memastikan suami membayar nafkah kepada isteri dan anak-anak mereka.

SIS mendesak pihak berkuasa supaya melihat insiden ketidakhadiran isteri ke mahkamah bukan sebagai satu alasan, tetapi sebagai petanda isu yang lebih dalam.
PETALING JAYA:
Pertubuhan wanita, Sisters in Islam (SIS) meminta kerajaan negeri Perak supaya memperketatkan undang-undang bagi melindungi wanita, bukannya mempermudahkan suami untuk mengamalkan poligami.

Merujuk kepada rancangan negeri itu untuk meminda Seksyen 23 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 bagi memudahkan poligami untuk lelaki Islam, SIS berkata, adalah lebih baik kerajaan menggubal undang-undang bagi memastikan suami membayar nafkah kepada isteri dan anak-anak mereka.

“Selain itu, bagi memastikan pelaksanaan undang-undang yang cepat apabila para isteri perlu berhadapan dengan sistem kehakiman syariah,” kata pengurus komunikasi SIS, Majidah Hashim kepada FMT.

Dengan pindaan yang dirancang itu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa budi bicara sama ada mahu memanggil isteri pertama ke mahkamah atau sebaliknya dalam membuat keputusan berhubung permohonan suami untuk berpoligami.

Di bawah enakmen sedia ada, mahkamah tidak boleh membuat keputusan sekiranya isteri tidak hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Majidah berkata, rancangan kerajaan Perak untuk meminda undang-undang bagi memudahkan suami mengahwini lebih daripada seorang isteri sangat tidak wajar.

Beliau mendesak pihak berkuasa supaya melihat insiden ketidakhadiran isteri ke mahkamah bukan sebagai satu alasan, tetapi sebagai petanda isu yang lebih dalam.

Peguam-aktivis Nik Elin Nik Rashid bersetuju bahawa kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada langkah memastikan bapa membayar nafkah anak-anak mereka, bukannya memudahkan poligami.

Katanya, dalam banyak kes, perkahwinan poligami merupakan sebab utama bapa gagal membayar nafkah.

Beliau berkata, poligami menjatuhkan taraf bukan sahaja isteri, tetapi juga anak-anak si-lelaki yang mengamalkannya.

“Kerajaan Perak mahu mengetepikan keperluan kehadiran individu paling penting yang kehidupannya akan sangat terkesan oleh amalan poligami,” katanya.

Katanya, undang-undang sedia ada menghendaki semua pihak terlibat hadir ke mahkamah dalam proses pembuatan keputusan.

“Undang-undang ini baik,” kata beliau. “Bagi menjadikannya lebih baik, panggil juga anak-anak dan tanya sama ada nafkah mereka diberi secara tetap, dan sama ada si-bapa menunaikan tanggung jawab penjagaannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.