
Setiausahanya, Ismail Yusof berkata tindakan belum diambil kerana buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi untuk diteliti dan disiasat berkenaan perkara itu.
“Setakat ini tiada aduan rasmi dikemukakan, jadi macam mana nak ambil tindakan. Semalam kita bermesyuarat dan jika ada aduan kita teliti, tetapi kes berkenaan tidak ada pun.
“Aduan rasmi (biasanya) dihantar dan Jawatankuasa Bantahan, Aduan, Rayuan, dan Disiplin Pemilihan 2018 yang diketuai Dr Syed Husin Ali akan meneliti aduan tersebut, baru akan dibuat keputusan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Shamsul semalam bahawa beliau tidak sengaja menyalahgunakan aset kerajaan kerana bergegas ke pemilihan parti di Batu Pahat sekembalinya dari luar negara.
Semalam, calon naib presiden PKR itu mengulas aduan seorang ahli PKR kepada JPP pada 14 Oktober lalu yang mendakwa beliau menyalahgunakan aset kerajaan ketika pemilihan parti.
Dalam surat bantahan yang disertakan gambar kereta rasmi kerajaan itu, ahli PKR berkenaan mendakwa kejadian itu berlaku kira-kira 2 petang 30 September lalu di pusat pemilihan PKR Bahagian Batu Pahat.
Shamsul bagaimanapun mendakwa gambar itu diambil oleh isteri kepada Ahli Parlimen Kapar, Datin Faezah Ariffin daripada “kem” Rafizi Ramli.
Dalam pada itu, Ismail berkata, surat amaran dan tindakan selanjutnya hanya akan dibuat sekiranya menerima aduan rasmi.
Beliau berkata, JPP sebelum ini sudah mengeluarkan surat amaran kepada 3 Ahli Parlimen iaitu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui bagi memastikan proses pemilihan PKR berjalan dengan adil.
“Bagi kes macam ini biasanya jawatankuasa mengambil pendekatan memberikan peringatan dan amaran keras. Itu sahaja kalau aduan itu sampai.
“Kalau keluar surat khabar bising-bising macam itu sahaja nak buat apa. Dia (Shamsul) buat pengakuan itu oleh sebab ada orang keluarkan di media sosial, dia buat pengakuan dan lagi senang kerja JPP,” katanya.
Beliau juga menegaskan Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin Pemilihan akan bersidang untuk meneliti bantahan, aduan atau rayuan yang diterima dari masa ke masa.
Beliau berkata biasanya, keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu hanyalah melibatkan sama ada menerima atau menolak bantahan, aduan dan rayuan, atau mengeluarkan peringatan dan amaran.
Bagaimanapun, beliau berkata, kuasa mengenakan tindakan disiplin hanya dimiliki oleh Jawatankuasa Disiplin Parti.