
Menteri berkata peruntukan itu sejajar dengan keputusan kerajaan menambahbaik BSH kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar.
Lim juga memperincikan 4 kategori yang menerima dalam BSH iaitu:
- Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.
- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
- Kadar tambahan sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah tetapi terhad kepada 4 orang, kecuali anak kurang upaya yang tidak dihadkan umur.
Beliau mengumumkan langkah-langkah tersebut di pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
BSH adalah penerusan kepada program BR1M untuk membantu golongan B40 susulan pelaksanaan pelan rasionalisasi kerajaan pada 2012.
Lim pada 29 Oktober lepas berkata antara penambahbaikan yang dilakukan adalah pembayaran dibuat secara penuh terus kepada akaun penerima berbanding secara berperingkat sebelum ini.
Subsidi minyak
Sementara itu, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk subsidi minyak yang dijangka memberi manfaat kepada 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.
Beliau mengumumkan subsidi minyak akan diberikan secara bersasar iaitu hanya kepada kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.
“Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal,” katanya.
Subsidi elektrik
Selain itu, kerajaan akan meningkatkan kadar subsidi bil elektrik isi rumah daripada RM20 dan ke bawah kepada RM40 dan ke bawah.
Bagaimanapun, katanya selaras dengan dengan hasrat kerajaan melaksanakan subsidi bersasar, penyaluran subsidi itu hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih.
“Dengan demikian, kerajaan mampu meningkatkan kadar subsidi kepada RM40 sebulan dan memanfaatkan 185,000 akaun. Peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan,” kata Lim.
Selain itu, kerajaan mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-SURI akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami yang mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri.