
Beliau yang merupakan calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dari “kem” Rafizi bakal bertembung dengan Mohd Rashid Hasnon dari “kem” timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang mengumumkan bertanding jawatan sama.
“Saya mengambil keputusan ini memandangkan minat yang mendalam terhadap bola sepak dan keinginan memenuhi potensi KLFA menjadi FA yang lebih profesional dan berintegriti.
“KLFA tidak perlu diperkenalkan lagi, terutamanya menerusi kecemerlangan pasukan bola sepak utamanya dan pembangunan bakat muda,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.
Ketua Pemuda AMK itu juga yakin akan dapat memainkan peranan untuk KLFA menjadi penyumbang kepada kejayaan Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 yang baru dilancarkan.
Mohd Rashid, yang merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat, menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden KLFA pada Isnin lalu.
Ahli Parlimen Batu Pahat dari PKR itu berkata, sekiranya menang jawatan tersebut, beliau tidak akan mencampur-adukkan urusan politik dengan sukan.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta ahli politik tidak mengetuai persatuan sukan tanpa kepakaran sewajarnya.
Beliau berkata, kementeriannya tidak akan melayan ahli yang hanya menggunakan jawatan persatuan sukan untuk mendapatkan dana.
“Kalau seseorang ingin mengepalai persatuan sukan dan sebagainya, tetapi tiada kepakaran atau minat, dan hanya kerana kedudukan, saya nasihatkan mereka tolonglah tolak tawaran.
“Kalau tetap buat perkara tersebut, tolonglah jangan datang minta peruntukan tambahan. Saya sudah menjauhkan diri daripada proses pemilihan. Agihan memang dibuat secara bebas,” katanya.