
The Jakarta Post melaporkan Tretan Muslim dan rakan sepasukannya yang beragama Kristian, Coki Pardede memuat naik video yang merupakan sebahagian daripada siri memasak “Last Hope Kitchen”, di mana para pelawak menyediakan hidangan dengan bahan-bahan luar biasa.
Dalam video itu, Tretan dan Coki memasak daging babi dengan sirap kurma dan madu.
Sambil memasak, Tretan melawak dengan berkata: “Neraka, neraka, api neraka!” dan mereka berceloteh mengatakan penambahan kurma, makanan umat Islam sewaktu berbuka puasa itu akan mengurangkan tahap haram daging babi.
Video itu tersebar di media sosial selepas penceramah terkenal, Derry Sulaiman memuat naik klip pendek itu di Instagramnya dengan mesej mengutuk kedua-dua pelawak terbabit.
“Siapakah orang-orang ini (mereka) tidak menghormati, mereka mahu menjadi terkenal dengan mempermain-mainkan agama kita.
“Tolong beritahu saya di mana kedua-dua orang ini tinggal, saya mahu mendengar lawak mereka secara peribadi (yang tidak lucu sama sekali),” tulisnya.
Bagaimanapun, Tretan dan Coki memohon maaf atas kesalahan mereka dan mengumumkan mereka menarik diri daripada kumpulan pelawak Majelis Lucu Indonesia (MLI).
Mereka mendakwa beberapa acara MLI terpaksa dibatalkan kerana menerima bantahan daripada pertubuhan Islam berhubung video mereka.
“Saya sangat terbuka dan bersyukur jika sesiapa mahu mencela atau memberi nasihat kepada saya, kerana jika seseorang bersalah, mereka harus dicela dan diingatkan.
“Tetapi mengutuk, menghina, menganiaya saya dan rakan dengan ancaman bunuh, saya yakin perkara itu tidak mencerminkan ajaran Islam,” katanya.