Putrajaya perlu RM7.4 juta rawat penyakit akibat merokok

Putrajaya perlu RM7.4 juta rawat penyakit akibat merokok

Menteri kesihatan berkata, WHO menganggarkan lebih 20,000 lelaki di negara ini mati setiap tahun kerana menghidap penyakit yang berpunca daripada tabiat merokok.

Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan harga rokok tidak mampu mengurangkan jumlah perokok di Malaysia kerana mereka boleh membeli rokok seludup pada harga murah di pasaran gelap. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dijangka perlu menanggung kos rawatan sebanyak RM7.4 juta bagi penyakit kronik akibat merokok menjelang 2025, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Akibat implikasi dan kematian tinggi, merokok telah memberi kesan kepada ekonomi negara dalam pelbagai aspek, termasuk beban kos tinggi bagi merawat penyakit akibat rokok, selain menjejaskan produktiviti pekerja yang sering tidak hadir.

“Kajian unjuran yang dibuat Kementerian Kesihatan pada 2017 menunjukkan jika kawalan tembakau di Malaysia tidak diperkukuhkan dan jumlah perokok tidak berkurangan, kerajaan bakal menanggung beban hutang amat tinggi lebih kurang RM7.4 juta pada 2025,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu adakah kerajaan akan menaikkan cukai rokok sehingga 75% bagi sebatang rokok, sejajar cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“WHO cadang 7.5% cukai terhadap satu batang rokok, kalau satu batang rokok RM1, cukai yang perlu dikenakan 75 sen satu batang, yang sekarang ini kita kenakan 53 sen sebatang. Adakah kerajaan sedia kenakan cukai 75%,” soalnya.

Dzulkefly berkata, WHO menganggarkan lebih 20,000 lelaki di negara ini mati setiap tahun kerana menghidap penyakit yang berpunca daripada tabiat merokok.

Beliau turut menjangkakan kenaikan harga rokok pada hujung bulan ini tidak mampu mengurangkan jumlah perokok di Malaysia kerana mereka boleh membeli rokok seludup pada harga murah di pasaran gelap.

“Kenaikan cukai ke atas rokok belum dapat memberi impak yang besar kepada pengurangan perokok atas sebab harga masih mampu dimiliki. Hasil kajian pada 1985 hingga 2015 menunjukkan rakyat Malaysia masih mampu beli rokok, walaupun cukai rokok dinaikkan.

“Ini kerana kenaikan cukai rokok masih rendah berbanding kenaikan taraf hidup dan pendapatan rakyat.

“Kerajaan sentiasa mencari jalan, selain menaikkan harga rokok, tetapi juga membendung penularan rokok tidak sah dalam pasaran gelap.”

Pada 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan.

Pada 16 Oktober lalu, Dzulkefly dilaporkan berkata, harga rokok dijangka dinaikkan hujung bulan ini, susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September lalu.

Jun lalu, harga jualan runcit hasil tembakau, termasuk rokok dikekalkan walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar.

Kali terakhir syarikat pengeluar rokok menaikkan harga jualan runcit rokok ialah November 2015, susulan kenaikan eksais rokok, selain mengambil kira kesan GST serta tekanan kos inflasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.