
“Asas bagi cabaran perundangan Malaysia di Mahkamah Tinggi London adalah award persetujuan tersebut telah diperoleh secara penipuan ataupun dengan cara yang bertentangan dengan polisi umum,” kata Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini.
Berdasarkan persetujuan itu, Malaysia bersetuju membayar AS$5.78 bilion dalam 5 tahun kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu.
Setakat ini, kerajaan sudah membayar AS$1.46 bilion dengan ansuran faedah berikutnya sebanyak AS$50 juta perlu dibayar pada 11 November ini.
“Penipuan merupakan asas yang mantap untuk mencabar award persetujuan itu atas sebab-sebab polisi umum,” kata Thomas.
Prosiding timbang tara itu dilakukan di bawah Peraturan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London antara IPIC dan Aabar Investments PJS sebagai pihak yang membuat tuntutan itu, manakala 1MDB serta Menteri Kewangan Diperbadankan sebagai responden.
Thomas berkata, permohonan itu mengambil kira dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan “pembuat keputusan utama dalam 1MDB”.
Katanya, IPIC dan Aabar tahu mengenai dakwaan itu sebelum pengumuman DoJ pada Julai 2016 untuk membekukan aset berbilion dolar dikaitkan dengan 1MDB dan “dibeli penipu-penipu menggunakan hasil dicuri”.
“Dalam keadaan tersebut, Malaysia mengambil pendirian IPIC dan Aabar sedar akan penipuan Najib Razak.
“Sebarang sistem perundangan akan mendapati tidak mungkin dia telah bertindak demi kepentingan terbaik negaranya dan syarikatnya.”