
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bagaimanapun enggan mendedahkan negara yang sudi menerima lelaki Syria itu.
“Saya tekankan ini bukan proses pengusiran, tetapi proses penghantaran kerana negara itu telah bersetuju mengambil dia.
“Tetapi, negara itu perlukan beberapa ketika untuk proses dari segi kemasukan dia ke negara berkenaan,” katanya selepas Sidang Kemuncak Anti-rasuah hari ini.
Media melaporkan Hassan, 36, mendakwa tinggal di klia2 sejak 7 Mac lalu kerana bimbang akan ditangkap dan dipaksa menjadi tentera, jika pulang ke Syria.
Polis menahannya pada 1 Oktober lalu, sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Pada 2 Oktober lalu, Mustafar dilaporkan berkata, Hassan sebelum ini cuba memasuki Kemboja, selepas tempoh pas lawatannya ke Malaysia berakhir, tetapi tidak dibenarkan pihak keselamatan negara itu.
Katanya, Hassan bertindak memalukan Malaysia melalui pelbagai kenyataan di media sosial sejak memasuki negara ini Mac lalu.
Hari ini, Mustafar berkata, pihaknya tidak mahu “menyimpan” Hassan lebih lama di depoh tahanan Imigresen.
“Satu, dari segi kemanusiaan dan sebagainya. Itu yang kita telah bincangkan dan alhamdulillah persetujuan telah dicapai.”