
Peguam Ong Chee Kwan, yang mewakili 1MDB dan 2 anak syarikatnya, bertemu pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Khatijah Idris Jumaat lepas bagi mendapatkan kelulusan berhubung terma dan syarat jualan itu berkata, proses bidaan akan berjalan selama sebulan hingga 28 Nov depan.
“Kita juga akan iklankan lelongan tersebut dalam akhbar tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Seorang lagi peguam mewakili 1MDB, M Joseph berkata, pembida yang berminat perlu membayar deposit sebanyak AS$1 juta untuk tujuan bidaan tersebut.
Beliau berkata, satu pusingan kelayakan akan diadakan dalam proses bidaan bagi memastikan hanya pembeli tulen mengambil bahagian.
“Kami mahu memastikan hanya pembeli serius tampil membuat bidaan,” katanya.
Ong berkata, sebaik sahaja bidaan diterima, satu surat akan dikeluarkan kepada pembida.
“Pembeli perlu membayar 10% daripada harga jualan dalam tempoh 5 hari perbankan, sementara baki 90% dibayar dalam tempoh 10 hari berikutnya.”
Beliau berkata, 1MDB dan kerajaan berharap untuk melepaskan pemilikan Equanimity menjelang pertengahan Disember ini.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memberi lampu hijau kepada 1MDB dan kerajaan untuk melantik broker dan penilai bagi menjual kapal layar berkenaan, yang dipercayai dibeli oleh ahli perniagaan Jho Low pada harga RM1 bilion.
Penyiasat AS mendakwa Low menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB untuk membeli kapal layar itu.
Equanimity kini berlabuh di sebuah terminal di Pelabuhan Kelang selepas pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia.
Ia dirampas pada Feb tahun ini oleh kerajaan Indonesia atas permintaan pihak berkuasa AS dalam satu penyiasatan rasuah oleh Jabatan Kehakiman negara itu melibatkan wang puluhan bilion dolar yang dikaitkan dengan 1MDB.
Bagaimanapun mahkamah Indonesia memutuskan pada April bahawa kapal layar itu dirampas secara salah dan mengarahkan ia diserahkan kepada pemiliknya.