Golongan wanita Johor disaran ceburi bidang kraftangan

Golongan wanita Johor disaran ceburi bidang kraftangan

Ciptaan menarik mereka diharap menggantikan cenderahati yang biasanya diberi di majlis-majlis dan program-program seperti plak dijadikan cenderahati kepada para pelancong yang melawat Johor.

Kerajaan negeri Johor mahu golongan wanita terutama ibu tunggal di negeri itu agar menceburi bidang kraftangan bagi menghasilkan produk yang boleh menggambarkan identiti Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung berkata kerajaan negeri sedang mengenal pasti kraftangan unik buatan ibu tunggal mahupun yang kurang berkemampuan sebagai satu daripada usaha dalam memperkasakan golongan itu.

“Ciptaan menarik mereka dapat menggantikan cenderahati yang biasanya diberi di majlis-majlis dan program-program seperti plak, ia juga boleh dijadikan cenderahati kepada para pelancong yang melawat ke Johor.

“Saya harap usaha yang sedang dilakukan kerajaan negeri ini dapat memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan wanita untuk menjana ekonomi dan menyara hidup mereka lebih baik,” katanya pada perasmian Program Iskandar Malaysia Sidang Kemuncak Keusahawanan Wanita.

Mengenai program yang bertujuan memperkasa usahawan wanita melalui inovasi dan digital itu, Liow berkata program berkenaan mampu memberi pendedahan kepada golongan wanita terhadap peluang perniagaan berlandaskan ekonomi digital.

Menurutnya, ekonomi digital melalui E-Dagang juga dilihat sebagai satu platform dan ruang untuk menggalakkan golongan wanita memasuki dunia ekonomi sekali gus memperkasa dan meningkatkan taraf kehidupan.

“Program ini amat selaras dengan teras kerajaan negeri yang bertujuan mendidik golongan wanita untuk meningkatkan kehidupan dan status ekonomi mereka.

“Ramai juga yang sertai trend ini (E-Dagang) dan menjalankan perniagaan serta berjaya mengukir nama dalam dunia perniagaan digital, terutama dalam industri seperti pelancongan, perkahwinan, pakaian, fesyen, makanan dan minuman,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, program berkenaan perlu diperluaskan memandangkan masih ramai lagi golongan wanita yang kurang memahami selok-belok bidang keusahawanan khususnya dalam keusahawanan digital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.