
Daripada 94% undian yang dikira, Bolsonaro memperoleh 56% undian menewaskan pencabarnya Fernando Haddad dari parti berhaluan kiri, Parti Pekerja (PTI) yang menerima 44% undian, kata pihak berkuasa pilihan raya.
“Kita tidak boleh berterusan dengan komunisme…nasib rakyat Brazil akan diubah,” kata Bolsonaro dalam ucapannya.
Beliau turut berikrar untuk menunaikan janji kempennya, termasuk menghapuskan rasuah yang berleluasa semasa pemerintahan parti berhaluan kiri.
Pengaruh bekas kapten tentera itu meningkat selepas populariti parti PTI yang memerintah Brazil selama berbelas tahun menurun sejak 2 tahun kebelakangan ini di tengah-tengah kemelesetan ekonomi dan skandal rasuah politik.
Ribuan penyokong Bolsonaro bersorak dan meraikan kemenangan beliau. Di Sao Paulo penyokong berpesta dengan pertunjukan bunga api.
Proses pengundian berjalan lancar di seluruh negara, kata bekas presiden Costa Rica merangkap ketua pasukan pemerhati negara Amerika, Laura Chinchilla.
Anggota kongres berusia 63 tahun itu berikrar untuk memerangi jenayah dengan memberikan lebih banyak autonomi kepada pihak polis dan membenarkan lebih ramai rakyat memiliki senjata.