Pemilihan PKR di Kuala Selangor ditangguh kerana masalah internet

Pemilihan PKR di Kuala Selangor ditangguh kerana masalah internet

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Azmira Ibrahim berkata, tarikh baru bagi pemilihan di cabang berkenaan akan ditentukan kemudian.

Kuala Selangor mempunyai seramai 17,737 anggota yang layak mengundi pada pemilihan kali ini. (Gambar Bernama)
KUALA SELANGOR:
Pemilihan PKR bagi cabang Kuala Selangor yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan berikutan masalah talian internet.

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Azmira Ibrahim berkata, tarikh baru bagi pemilihan di cabang berkenaan akan ditentukan kemudian oleh pihaknya.

“Hari ini kami menghadapi masalah talian internet yang tidak boleh menopang sistem e-undi, dan bukan sistem e-undi ini yang bermasalah.

“Mengenai kelewatan pengumuman penangguhan ini ia kerana kami perlu mendapat pengesahan daripada JPP Pusat terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini hari ini.

Kuala Selangor mempunyai seramai 17,737 anggota yang layak mengundi pada pemilihan kali ini.

Terdahulu, kecoh seketika apabila anggota PKR yang hadir sejak pukul 8.30 pagi ini diberitahu bahawa pemilihan hari ini dibatalkan.

Keadaan bagaimanapun dapat dikawal oleh petugas dan anggota keselamatan.

Sementara itu, calon Ketua Cabang Kuala Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata JPP patut menilai kembali kewajaran penggunaan sistem e-undi berkenaan.

“Masalah kelemahan talian internet bukan pertama kali berlaku hari ini, ia pernah berlaku ketika pemilihan di Melaka dan Kedah sebelum ini, dan JPP juga memberi jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang, tetapi ia berulang lagi hari ini.

“Jika kita menggunakan sistem manual, perkara ini tidak akan berlaku,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Melawati itu.

Tambahnya, beliau dan calon lain bersetuju untuk pemilihan itu ditunda selepas mengambil kira keselamatan dan keselesaan anggota PKR yang datang selain tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.