Putrajaya saran kurangkan bil utiliti pusat asuhan

Putrajaya saran kurangkan bil utiliti pusat asuhan

Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, kos operasi yang membebankan pusat asuhan akan mendorong mereka mengabaikan SOP dan garis panduan ditetapkan.

Hannah Yeoh berkata, individu yang mahu menceburkan diri dalam industri pendidikan dan asuhan awal kanak-kanak perlu lulus ujian saringan bagi memastikan mereka tiada rekod jenayah lampau. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan akan berunding dengan syarikat utiliti dalam masa terdekat ini bagi membantu meringankan kos operasi pusat asuhan kanak-kanak yang dilihat agak tinggi, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Beliau berkata, usaha itu wajar memandangkan bil utiliti yang tinggi menjadi faktor utama wujudnya banyak pusat asuhan tidak berdaftar kerana pengusaha tidak mampu menanggung caj komersial ke atas mereka jika berdaftar.

“Pusat asuhan ini tidak boleh mengenakan caj tinggi kepada ibu bapa, jadi mereka terpaksa menanggung kos operasi membebankan. Hal ini juga akan mendorong mereka mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan pusat asuhan yang ditetapkan.

“Oleh itu, kementerian sedang bekerjasama dengan Majlis Pengasuhan, Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) dan persatuan pengasuh untuk mendaftarkan pusat-pusat asuhan yang belum berdaftar dan cari jalan bantu mereka kurangkan kos operasi,” katanya berucap dalam Majlis Penutupan Festival Kanak-kanak 2018 oleh Management and Science University (MSU) dan Minggu Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, hari ini.

Tambah Yeoh, kementeriannya juga sedang membentuk satu ujian saringan ke atas individu yang mahu menceburkan diri dalam industri pendidikan dan asuhan awal kanak-kanak.

Beliau berkata, usaha itu bukan bertujuan “mengacau” periuk nasi bakal pengasuh, namun ujian itu bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa di tahap tertinggi, jika dihantar ke pusat asuhan.

“Sebelum mana-mana individu mahu menjadi pengasuh, mereka perlu lulus ujian saringan ini. Ia untuk memastikan pengasuh tidak mempunyai sebarang rekod lampau, sama ada sebagai pesalah seksual mahupun kes penderaan.

“Kita akan bekerjasama rapat dengan polis, mahkamah dan Jabatan Penjara bagi mendapatkan maklumat bakal pengasuh dalam ujian saringan itu kelak. Usaha ini untuk menjadikan Malaysia lebih selamat kepada kanak-kanak.”

Dalam pada itu, Yeoh berkata, lebih 20,000 kes penderaan kanak-kanak direkodkan dalam 5 tahun lalu dan statistik itu menunjukkan pelakunya membabitkan penjaga, ahli keluarga serta individu dikenali kanak-kanak itu secara rapat.

Katanya, jumlah itu harus dibendung kerana kebarangkalian kanak-kanak itu melakukan perbuatan sama semasa dewasa akibat trauma adalah tinggi.

Disebabkan itu, katanya, semua pihak harus bekerjasama memberikan terapi dan pemulihan, sekiranya mengetahui ada kanak-kanak pernah didera supaya mereka faham perbuatan itu salah dan tidak mengulanginya pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.