
Pada prosiding berasingan, Hakim Dharmafikri Abu Adam dan Hakim Surita Budin memerintahkan Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20, menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh ditangkap, iaitu 5 Sept 2024.
Sekiranya gagal membayar denda, dia turut berdepan hukuman penjara tambahan 20 bulan.
Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga.
Mahkamah juga memerintahkan Puteri Nurin Amalina menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan bagi setiap empat tuduhan, yang berjalan berturutan selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Selain itu, Surita mengarahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling oleh pegawai khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantunya mengawal kemarahan.
Puteri Nurin Amalina, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak itu, didakwa menganiaya mereka dengan menekap sudu besi panas pada lengan mangsa sehingga melecur di sebuah pusat jagaan pada Ogos 2024.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM50,000, atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh didapati menekap sudu panas itu sebagai hukuman terhadap kanak-kanak terbabit kerana mengambil makanan ringan.
Peguam mewakili tertuduh, Najib Zakaria, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas anak guamnya dengan mengambil kira fakta bahawa tertuduh pesalah muda yang sangat menyesal dengan perbuatannya.
“Saya mohon mahkamah mengambil kira niat tertuduh menggunakan hukuman menekap sudu panas kepada mangsa bertujuan untuk mendidik,” katanya.
“Dia juga daripada keluarga berpendapatan rendah, bapanya bercucuk tanam dan ibunya menjual kuih, dia juga berhasrat mahu menyambung pengajian pada peringkat vokasional dalam bidang pembuatan roti dan pastri selepas menjalani hukuman.”
Pengarah Pendakwaan Negeri Ku Hayati Ku Haron pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dan mengambil kira faktor kepentingan awam.
“Tindakan menjatuhkan hukuman (menekap sudu besi panas) terhadap mangsa kerana makan makanan ringan adalah tindakan berlebihan, kita mengetahui sifat kanak-kanak memang suka makan,” katanya.