SPRM tahan pegawai kanan polis bergelar ‘Datuk’

SPRM tahan pegawai kanan polis bergelar ‘Datuk’

Ia bagi membantu siasatan berkaitan rasuah melebihi RM100,000.

Pegawai kanan berpangkat SAC itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah antara Ogos 2017 dan Ogos tahun ini. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan polis bergelar “Datuk” bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah lebih RM100,000.

Pegawai kanan berusia 56 tahun berpangkat SAC itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kira-kira 7 malam semalam.

Difahamkan, pegawai itu yang juga bekas pengarah jabatan di Bukit Aman disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan antara Ogos 2017 dan Ogos tahun ini.

Pegawai itu disyaki meminta dan menerima wang itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang koperal polis yang mengambil upah dalam urusan pengurangan saman di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Beliau ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan itu.

“Ya, saya sahkan memang semalam SPRM telah menahan seorang pegawai kanan polis bergelar Datuk,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.