
Beliau berkata sekumpulan pakar teknologi maklumat (IT) yang dijemput oleh JPP untuk cuba mencari semula 2,001 data undi berkenaan mengesahkan bahawa undi tersebut gagal dikesan.
“Kita telah memanggil pakar IT, termasuk pakar bebas dari luar negara, juga pakar IT dari wakil calon timbalan presiden (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mohd Rafizi Ramli), untuk cuba dapatkan semula undi, namun gagal, dan mereka bersepakat memutuskan undi tersebut ‘hilang’ disebabkan faktor teknikal dan bukan dimanipulasi,” katanya malam tadi.
Terdahulu, satu pertemuan dan perbincangan pakar berkenaan diadakan di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam.
Mengulas mengenai penyelesaian undian di 5 cabang negeri Melaka, Adzman berkata, 2 cara ditawarkan sama ada mengadakan keseluruhan pemilihan semula atau pemilihan semula anggota yang undinya terjejas sahaja.
“JPP berpendapat eloklah jika diberi peluang pengundi terjejas untuk dikembalikan hak mereka. Apapun ia akan dimuktamadkan kemudian,” katanya.
Adzman berkata JPP juga masih meyakini integriti “e-undi” yang buat pertama kali digunakan pada pemilihan PKR.
“Setelah melalui proses pengundian di 9 negeri, kami yakin sistem ini masih berintegriti, cuma memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa, termasuklah membina ‘storan salinan’ bagi mengelak kejadian undi ‘hilang’ daripada berulang,” katanya.
Hari ini 10 daripada 15 cabang di Kedah akan mengadakan pemilihan semula setelah pemilihan pada 22 Sept dibatalkan ekoran pergaduhan sesama anggota serta masalah teknikal sistem e-undi (undi secara digital).
Cabang terlibat ialah Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Pendang, dan Sik.
Sejumlah 49,924 anggota layak mengundi di Kedah.