
Harga minyak pasaran depan Brent jatuh 45 cent atau 0.6% kepada AS$76.44 setong pada pukul 0140GMT (9.40 pagi). Tanda aras dunia menuju kerugian mingguan sebanyak 4.2%.
Minyak mentah AS jatuh 56 cent atau 0.8% kepada AS$66.77 setong. Tanda aras AS menuju kerugian sebanyak 3.4% minggu ini.
Gabenor OPEC Arab Saudi berkata semalam, pasaran minyak dijangka menghadapi lebihan pengeluaran pada suku keempat tahun ini.
“Pasaran pada suku keempat akan bergerak ke arah lebihan pengeluaran seperti terlihat pada peningkatan inventori beberapa minggu ini,” kata Adeeb Al-Aama kepad Reuters.
Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid Al-Falih berkata, perlu ada campur tangan bagi mengurangkan simpanan stok minyak berikutan peningkatan dalam beberapa bulan lepas.
Kejatuhan pasaran saham menggugat harga minyak minggu ini sewaktu Wall Street mengalami kemerosotan paling buruk sejak 2011.
Pasaran kewangan diasak teruk berikutan beberapa kebimbangan, termasuk perang perdagangan AS-China, kejatuhan mata wang pasaran baru muncul, peningkatan kos pinjaman dan perolehan bon, serta kebimbangan mengenai ekonomi Itali.
Simpanan stok minyak mentah AS meningkat minggu lepas untuk minggu kelima berturut-turut, sementara inventori gasolin dan sulingan jatuh, kata Pentadbir Maklumat Tenaga (EIA) minggu ini.
Menyokong iklim suram ini ialah laporan yang menunjukkan peningkatan inventori di Cushing, California, hab penghantaraan bagi minyak pasaran depan AS.
Stok minyak mentah Cushing meningkat kepada 33 juta tong Selasa, bertambah sebanyak 1.8 juta tong berbanding minggu lepas, kata peniaga memetik laporan perisik pasaran di Grenscape.