Pekerja asing: Majikan cadang sistem lebih telus

Pekerja asing: Majikan cadang sistem lebih telus

Sistem baru perlu ada 'timeline' proses permohonan supaya majikan tidak perlu tertunggu-tunggu.

Shamsuddin berkata, sistem baru perlu dilakukan secara atas talian agar tiada interaksi bersemuka antara pemohon dengan pegawai yang memproses bagi mengelakkan rasuah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik pengumuman kerajaan menamatkan program khidmat luar pengambilan pekerja asing yang kini dikendalikan lebih 100 syarikat swasta dan diambil alih sepenuhnya oleh satu agensi khusus di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pihaknya mengharapkan Kementerian Sumber Manusia yang akan mengambil alih peranan terbabit dapat memperkenalkan satu sistem lebih telus berbanding program berkenaan.

Katanya program baru itu perlu mempunyai “timeline” tertentu supaya majikan tidak akan tertanya-tanya bilakah permohonan mereka (megambil pekerja asing) dapat dikeluarkan atau diberitahu tentangnya.

“Ini kerana pada masa dahulu tidak ada sebarang jangka waktu yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan bahawa program khidmat luar pengambilan pekerja asing ng kini dikendalikan lebih 100 syarikat swasta akan dihentikan.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, tugas berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di bawah kementerian terbabit.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, akibat daripada tiada jangka waktu yang ditetapkan, majikan terpaksa menunggu dan tertanya-tanya mengenai keputusan permohonan mereka berhubung pengambilan pekerja asing.

“Itu menimbulkan pelbagai masalah dan ada antara mereka yang ingin mendapatkan pekerja dengan cepat terpaksa pula membuat bayaran yang tidak sewajarnya untuk melicinkan proses berkenaan.

“Jadi saya rasa seharusnya tidak dipraktikkan lagi dalam sistem yang baru ini dan semuanya haruslah telus,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut mengharapkan agar sistem berkenaan dapat dilakukan secara atas talian agar tiada interaksi secara bersemuka membabitkan pemohon dengan pegawai yang memproses permohonan tersebut.

“Ini sebenarnya dapat membanteras elemen rasuah dan sebagainya. Ia juga dapat melicinkan proses berkenaan di mana kalau ada jangka masa yang ditetapkan, majikan boleh tunggu kerana ada jaminan tempoh yang jelas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.