Isu migran uji hubungan AS, Mexico dan Amerika Tengah

Isu migran uji hubungan AS, Mexico dan Amerika Tengah

Rabu lepas, sekumpulan migran seramai 3,600 orang tiba di bahagian selatan Mexico, kira-kira 1,600 km dari sempadan AS.

Washington memberi tekanan ke atas kerajaan Mexico supaya menghalang kumpulan migran tersebut tiba di sempadan AS. (Gambar Reuters)
WASHINGTON:
Pergerakan ribuan migran menuju ke sempadan Amerika Syarikat (AS) melalui Mexico, merupakan satu ujian getir kepada hubungan 2 hala Mexico dan negara Amerika Tengah.

Pada Rabu, kumpulan migran seramai kira-kira 3,600 orang, tiba di bahagian selatan Mexico, kira-kira 1,600 kilometer dari sempadan AS.

Lapor agensi berita Xinhua, migran yang kebanyakannya dari Honduras itu memasuki AS bagi mencari suaka, bagaimanapun Presiden Donald Trump bertegas bahawa negaranya akan menghalang kemasukan dan mengancam untuk menempatkan anggota tentera di sempadan.

Selain itu, Washington turut memberi tekanan ke atas kerajaan Mexico supaya negara itu menghalang kumpulan migran tersebut tiba di sempadan AS.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo juga berbincang dengan rakan sejawatannya, Luis Videgaray menerusi panggilan telefon berhubung perkara itu.

Trump turut mengancam negara Amerika Tengah yang lain seperti Guatemala dan El Salvador, dengan menggugut akan mengurangkan bantuan yang selama ini disalurkan kepada negara terbabit.

Pakar politik berpandangan ancaman presiden AS itu hanya akan memburukkan lagi keadaan dan boleh meningkatkan lagi ketidakstabilan di Amerika Tengah.

Sementara itu Presiden El Salvador Salvador Sanchez Ceren dalam kenyataan balas berhubung ancaman Trump berkata, penghijarahan adalah hak asasi manusia, maka ia perlu dihormati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.