Bung Moktar tak setuju Menara Felcra dijual

Bung Moktar tak setuju Menara Felcra dijual

Bekas pengerusi Felcra itu berkata menara berkenaan merupakan mercu tanda organisasi itu sendiri semenjak ia diwujudkan 50 tahun yang lalu.

Bung Moktar Radin mencadangkan kerajaan menjual lot pangsapuri yang terletak di kawasan projek Menara Felcra. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menjual Menara Felcra di Jalan Semarak.

Bekas pengerusi Felcra itu berkata, Menara Felcra yang dibina di kawasan tanah seluas 1.63 hektar itu perlu dikekalkan.

Bung meletak jawatan sebagai pengerusi pada Felcra pada 1 Jun lalu, susulan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14. Jawatan itu digantikan oleh Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab.

“Sebab ia merupakan mercu tanda untuk ahli-ahli dan juga peserta Felcra yang lebih kurang 115,000 orang,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan penjualan Menara Felcra adalah bagi menyelamatkan aliran tunai syarikat itu yang kini sedang menghadapi masalah dan menjualnya jika mendapat tawaran yang menguntungkan.

19 Oktober lalu, media melaporkan Felcra Berhad (Felcra) mengumumkan penjualan Menara Felcra di Jalan Semarak yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak implikasi terhadap kewangan syarikat itu.

Pengerusinya, Nageeb berkata, entiti milik penuh kerajaan itu ketika ini sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak dari dalam dan luar negara untuk penjualan projek berkenaan yang sudah 50% siap.

Projek di atas tanah seluas 1.63 hektar itu merangkumi menara pejabat setinggi 35 tingkat, lot pangsapuri servis 40 tingkat terdiri daripada 480 unit dan enam tingkat pusat perdagangan termasuk dua tingkat pusat konvensyen dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.1 billion.

Setakat 30 September 2018, kerja pembinaan telah mencapai kemajuan sebanyak 41.22% dan lewat 96 hari daripada jadual kerja asal.

Mengulas lanjut, Bung yang juga ahli Parlimen Kinabatangan berkata, Menara Felcra juga merupakan mercu tanda organisasi itu sendiri semenjak ia diwujudkan 50 tahun yang lalu.

Beliau berkata kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menjual lot pangsapuri yang terletak di kawasan projek Menara Felcra berkenaan.

“Kita ada 2 bangunan di situ, 1 menara, 1 pangsapuri. Kalau ditimbang untuk dijual pengsapuri itu mungkin Menara Felcra boleh dikekalkan dan dibuka kepada penyewa-penyewa kepada syarikat yang berminat,” katanya.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.