
Sumber SPRM berkata rumah Irwan digeledah pada 4.00 petang tadi. “Tiada apa-apa sitaan hasil penggeledahan,” katanya kepada FMT.
Irwan ditahan pada 3.35 petang tadi selepas dipanggil ke ibu pejabat badan anti-rasuah bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut hadir memberi keterangan berhubung isu sama, meninggalkan ibu pejabat SPRM 5 petang tadi.
SPRM memaklumkan ia mendapat izin Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa kedua-duanya bersama di mahkamah esok berhubung beberapa kes pecah amanah membabitkan dana kerajaan.
Semalam, sumber memberitahu FMT yang Najib dan Irwan dijangka didakwa menggunakan peruntukan kerajaan untuk melangsaikan hutang 1MDB dengan IPIC.
1MDB dalam perjanjian penyelesaian bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC menerusi 2 ansuran pada Ogos dan Disember tahun lalu.