Dana GST hilang: PAC mungkin panggil semula Najib

Dana GST hilang: PAC mungkin panggil semula Najib

Ronald Kiandee berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ialah saksi terakhir yang akan dipanggil PAC selepas Bajet 2019 dibentangkan awal bulan depan.

Najib Razak (kanan) memberi keterangan selama sejam kepada PAC hari ini berhubung aliran kewangan kerajaan, pungutan dan pulangan daripada GST. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan memanggil semula Datuk Seri Najib Razak untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kehilangan wang tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Pengerusinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, bekas perdana menteri itu memberi kerjasama baik sepanjang prosiding hari ini.

Katanya, Najib yang juga bekas menteri kewangan memberi keterangan kepada PAC selama sejam berhubung aliran kewangan kerajaan, pungutan daripada GST dan pulangan cukai itu hari ini.

“Hari ini, kita tak boleh katakan (beri kata putus) dan akan rujuk kembali kalau ada keperluan (untuk panggil Najib).

“Kita telah buat penilaian semula terhadap Ketua Pengarah Kastam (Datuk Seri Subromaniam Tholasy) dan juga mantan KP.

“Jika ada keperluan, kita mungkin akan panggil semula,” katanya selepas selesai mengambil keterangan Najib di bangunan Parlimen hari ini.

PAC sudah memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan, antaranya Subromaniam, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kelmarin, Irwan Serigar memberi keterangan untuk kali ke-2 kepada PAC.

Ronald berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ialah saksi terakhir yang akan dipanggil selepas Bajet 2019 dibentangkan 2 November ini.

Katanya, PAC tidak boleh mendedahkan butiran prosiding kepada orang ramai ketika ini kerana ia membabitkan pindaan beberapa Peraturan Mesyuarat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Kami boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika berbuat demikian.

“Seperti dikatakan semalam, kita tengah berjuang untuk membolehkan maklumat PAC ini diakses awam, tapi ia melibatkan pindaan kepada beberapa (peraturan) mesyuarat dan Akta Majlis Parlimen.”

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, semua keterangan Najib akan dimasukkan dalam laporan yang akan dibentangkan ke Parlimen selepas prosiding itu selesai.

“Setakat hari ini, maklumat yang kita mahu dapatkan dan testimoni daripada Najib sudahpun sempurna.”

PAC mengadakan prosiding ini selepas Lim dalam sidang Dewan Rakyat pada 8 Ogos lalu mendakwa kerajaan kekurangan RM19.25 bilion kerana hanya ada RM148.6 juta dalam akaun amanah pembayaran balik GST, sedangkan akaun itu sepatutnya mempunyai RM19.4 bilion.

Lim berkata, sebanyak 121,429 syarikat dan individu belum menerima bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion sejak 2015, dan ramai tertanya mengapa bayaran lewat.

Katanya, Najib mempunyai kuasa untuk menghentikan pemindahan RM19.25 bilion ke kumpulan wang disatukan untuk bayaran balik GST daripada RM82.9 bilion yang diminta kastam.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.