
Bekas perdana menteri itu mengingatkan kerajaan bahawa harga purata minyak mentah tidak menentu kerana tertakluk kepada faktor geopolitik.
Beliau akui Bajet 2018 mengikut harga purata minyak mentah Brent AS$52 setong namun pentadbirannya sedar akan bahayanya.
“Jadi dengan keadaan rapuh ini kita tidak seharusnya letak belanjawan kita pada angka AS$70. Kita akan terperangkap,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan perdana menteri minggu lalu.
Najib sebelum ini berkata GST, yang digantikan dengan SST pada 1 September lalu, menjadi penampan kepada sebarang penurunan harga minyak dunia dan penyusutan cukai pendapatan dan korporat.
Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mengumumkan anggaran peruntukan Bajet 2019 berdasarkan harga purata minyak mentah AS$70 setong walaupun harga purata minyak mentah Brent kini menghampiri AS$80 setong.
Perdana menteri juga berkata belanjawan operasi dikekalkan tetapi peruntukan pembangunan akan dikurangkan kerana pentadbirannya perlu membayar hutang RM1 trilion yang diwarisi daripada pentadbiran dulu.
Najib sebelum ini mempertikaikan hutang negara mencecah angka RM1 trilion.
Bekas perdana menteri hari ini berkata dia menyokong usul Kajian Separuh Penggal RMK-11 sebagai seorang pembangkang yang bertanggungjawab dan tidak “hentam semberono”.
“Kalau kita fikir ianya tak patut, tak sesuai, ada kelemahan, boleh memudaratkan negara dan rakyat, kita akan tentang dengan cadangan lebih membina,” katanya.
Antara sebab lain beliau menyokong usul perdana menteri ialah kerana ia memperakui kadar pertumbuhan 5.9% pada 2017 di bahagian pertama dokumen itu.
Najib berkata ramai tidak tahu pembangunan Malaysia dalam tempoh 6 tahun dari 2011 hingga 2017 mengatasi 4 “harimau ekonomi” Asia iaitu Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Hong Kong.
“Sekiranya ada pihak memomok negara muflis dan rakyat susah, mereka dinafikan dengan fakta dan hakikat sebenarnya,” katanya.
Kerajaan dijangka membentangkan Bajet 2019 pada 2 November ini.