
Selain beberapa sebab yang dikongsi, laman tersebut turut menyenarai sebab sakit abdomen atau perut sebelah kanan yang berbeza bagi kaum wanita dan lelaki.
Mari kita ikuti punca dan sebab sakit perut tersebut:
Sakit perut sebelah kanan dalam wanita
Sesetengah punca sakit perut sebelah kanan hanya menjejaskan wanita. Keadaan ini secara amnya lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan. Selain 6 punca di atas, wanita boleh mengalami sakit perut sebelah kanan disebabkan punca lain. Punca-punca berikut juga boleh menyebabkan rasa sakit di sebelah kiri.
1. Senggugut
Kekejangan haid (dysmenorrhea) atau senggugut adalah simptom haid. Senggugut boleh berlaku sebelum atau semasa haid anda. Kekejangan paling kerap dirasai di bahagian bawah abdomen, di mana rahim anda mencgecut untuk menyingkirkan lapisannya.
2. Endometriosis
Walaupun senggugut adalah simptom biasa haid, ia juga boleh disebabkan oleh masalah endometriosis. Endometriosis berlaku apabila lapisan yang biasanya tumbuh di dalam rahim terbentuk di luar organ tersebut.
Endometriosis adalah keadaan yang menyeksakan dan kronik bagi ramai wanita dan boleh menyebabkan kemandulan. Jika anda mengesyaki endometriosis mungkin menjadi sebab sakit perut anda, rujuk kepada doktor. Lebih cepat keadaan dirawat, lebih kurang komplikasi.
3. Sista ovari
Sista ovari adalah kantung berisi cecair yang terdapat pada vari. Kebanyakan sista tidak menyebabkan rasa sakit atau ketidakselesaan, dan akhirnya akan hilang sendiri. Tetapi sista ovari yang besar, jika pecah, boleh membawa kepada simptom yang serius.
4. Kehamilan luar rahim
Kehamilan luar rahim atau ektopik berlaku apabila telur yang disenyawakan menempel pada salah satu tiub fallopian, sebelum sempat sampai ke rahim.
Selain sakit perut, ia boleh menyebabkan pendarahan faraj, sakit antara bahu dan tangan, kencing yang menyakitkan atau pergerakan usus yang menyakitkan serta cirit-birit.
Jika kehamilan ektopik pecah, anda juga mungkin mengalami pening kepala, keletihan dan muka pucat.
5. Penyakit radang pelvik
Penyakit radang pelvik (PID) berpunca daripada penyakit kelamin yang tidak dirawat. PID boleh menyebabkan kesakitan di bahagian bawah abdomen, dan juga demam, lendir faraj yang berbau dan pendarahan semasa hubungan kealamin serta rasa terbakar semasa buang air kecil.
6. Kilasan ovari
Kilasan ovari berlaku apabila ovari anda, dan kadangkala termasuklah tiub fallopian, menjadi terpusing, memotong bekalan darah kepada organ ini. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit abdomen yang teruk dan memerlukan pembedahan untuk membetulkan belitan ovari.
Sakit perut sebelah kanan dalam lelaki
Sesetengah punca sakit perut sebelah kanan hanya memberi kesan kepada lelaki sahaja. Keadaan ini secara amnya lebih serius dan memerlukan rawatan perubatan. Ini termasuklah hernia yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki iaitu hernia inguina atau angin pasang.
Selain itu, kilasan buah zakar (testicular torsion) yang berlaku apabila buah zakar terpusing hingga menghalang aliran darah juga boleh menyebabkan sakit perut di samping rasa sakit dan bengkak yang teruk pada buah zakar.
Bila saya patut berjumpa doktor?
Bahagian kanan perut anda adalah rumah kepada sebahagian daripada kolon anda dan bagi sesetengah wanita, ovari kanan. Terdapat pelbagai keadaan yang boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa pada bahagian perut kanan anda. Dalam kebanyakan kes, sakit perut belah kanan tidak perlu dibimbangkan dan akan hilang sendiri dalam satu atau dua hari.
Tetapi jika anda mengalami ketidakselesaan yang berterusan, anda perlu berjumpa dengan doktor terutamanya jika anda mengalami sebarang simptom berikut:
– Sakit atau tekanan pada dada
– Demam
– Najis berdarah
– Mual dan muntah berterusan
– Kulit yang kelihatan kuning (penyakit kuning)
– Rasa sangat sakit apabila anda menyentuh abdomen anda
– Perut bengkak
Jika anda merasakan simptom-simptom ini, anda perlu segera ke bahagian kecemasan.
Artikel ini diterbitkan oleh Hello Health Group dan pihaknya tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan