
“Mereka pernah mengggelar saya macam-macam seperti mahafiraun.
“Ia perkara kecil. Saya tak minat balas dendam,” katanya dalam Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian hari ini, merujuk nama yang diberikan kepadanya ketika kemuncak krisis politik pada 1990-an.
Perdana menteri turut mempertahankan rekod lamanya dengan berkata, beliau seorang yang bertolak ansur berbanding kerajaan terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, beliau juga sedia berdepan media.
“Ia peluang untuk saya jawab soalan rakyat.”
Sementara itu, Dr Mahathir turut mengulas kontroversi membabitkan kehilangan wartawan Arab Saudi, Jamal Ahmad Khashoggi.
“Ia adalah dahsyat apa yang berlaku,” katanya merujuk kehilangan Khashoggi selepas memasuki Konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.
Laporan yang tidak sahih menyatakan Khashoggi mungkin didera dan dibunuh ejen Saudi dalam kawasan konsulat itu, namun dakwaan itu disangkal pegawai Saudi yang menyifatkannya “tidak berasas”.
“Tidak boleh diterima. Kami juga ada orang yang kami tidak suka. Kami tidak bunuh mereka.
“Dahulu, ada orang yang tidak suka kami. Alhamdulillah, negara kita tidak ada perkara seperti ini dan kita tidak bunuh pengkritik.”
Dr Mahathir sekali lagi mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan terhadap dakwaan dasar pusingan U, kegagalannya menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya.
“Kami dapati apa yang kami mahu buat tidak boleh dilakukan. Ia adalah bodoh meneruskannya. Lebih baik mengubah rancangan.”
Beliau turut membidas ahli Parlimen yang tidak menggunakan peluang untuk membahaskan isu sebenar di Parlimen, tetapi sekadar beretorik.