Dr M: Saya bukan ahli silap mata, takut harapan tinggi rakyat

Dr M: Saya bukan ahli silap mata, takut harapan tinggi rakyat

Dr Mahathir Mohamad mengakui tugas menjadi perdana menteri buat kali ke-2 lebih sukar berbanding kali pertama menerajui negara pada 1981.

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bukannya ahli silap mata dan gentar dengan rakyat yang menaruh harapan terlalu tinggi terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya.

Katanya, beliau akan cuba memulihkan ekonomi negara, tetapi ia bukan perkara mudah disebabkan pelbagai masalah dan cabaran dihadapi kerajaan ketika ini.

“Saya betul-betul rasa takut terhadap harapan rakyat, mereka fikir saya boleh buat apa sahaja. Saya juga buat silap, silap memilih orang dulu.

“Kali ini, saya cuba daripada pengalaman dahulu, cuba laksanakan sesuatu, namun keadaan tidak begitu mengizinkan.

“Saya bukan ahli silap mata, saya cuba selesaikan masalah melalui pemikiran dan penetapan, cara yang saya pilih itu kadangkala tidak kena, tetapi ia boleh dibetulkan,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian hari ini.

Beliau turut mengakui tugas menjadi perdana menteri buat kali ke-2 lebih sukar berbanding kali pertama menerajui negara pada 1981.

“Ia jauh lebih sukar. Pada 1981 saya jadi perdana menteri, keadaan semua tersusun. Saya cuma buat keputusan dan ada jentera kerajaan yang melaksanakan keputusan dan ada wang yang cukup.

“Kali ini kerajaan sudah rosak teruk, tidak ada duit, jadi hendak buat apa-apa pun susah.”

Mengulas prestasi anggota Kabinetnya, Dr Mahathir mengakui ada kekurangan dalam beberapa aspek, tetapi beliau berjanji akan memberi peluang untuk membetulkan kesilapan.

“Ada menteri katakan saya beranggapan mereka ini kurang berpengalaman. Saya kena pujuk mereka, tetapi dahulu sewaktu kali pertama menjadi perdana menteri, legasi saya sebuah Kabinet yang cukup berpengalaman, sudah lama pegang jawatan.

“Saya ketika itu masuk dalam keadaan seorang diri yang masih baru. Kali ini, yang lama berapa orang sahaja, jadinya orang baru ini tidak boleh macam orang lama. Kita kena lakukan penilaian, cuba sesuaikan diri dengan keadaan.”

Katanya, beliau terpaksa menyesuaikan pemikirannya dengan pemimpin PH daripada pelbagai aliran pemikiran.

“Kalau saya buat macam cara saya dahulu, ia tidak akan berjaya. Saya sedar idea saya terpaksa disesuaikan dengan pemikiran mereka. Idea mereka ada yang mirip sosialisme, liberalisme, saya kena ambil kira.”

Beliau berkata, anggota Kabinetnya akan diajar cara memperbaiki mutu dan perkhidmatan dalam menjalankan tugas serta meningkatkan prestasi mereka.

“Sekolah itu ada, tetapi bukan sekolah formal seperti yang kita tahu. Kita tidak masukkan dalam kelas, tetapi ada usaha untuk meningkatkan kebolehan mereka dalam kursus di Institut Tadbir Awam Negara (Intan), macam mana hendak jadi menteri terbaik.

“Kita akan sampaikan kepada mereka, memang kita mempunyai rancangan kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.