
Kenyataannya minggu lepas yang tidak menolak campur tangan tentera, jika konflik politik berlaku mengundang bantahan daripada ahli politik, yang jelas bimbang dengan pendirian itu memandangkan pilihan raya setelah lebih 4 tahun pemerintahan tentera semakin hampir.
“Sekiranya politik tidak menimbulkan kekacauan, tiada apa (rampasan kuasa) yang akan berlaku,” kata ketua tentera itu ketika ditanya pemberita semasa sesi bertemu media yang pertama setelah mengambil alih jawatan daripada Jen Chalermchai Sittisart awal bulan ini.
Komen terbuka beliau mengenai rampasan kuasa pada masa hadapan jelas memberi kebimbangan kepada aktivis anti tentera dan ahli politik di negara ini, yang meletakkan harapan besar untuk Thailand kembali ke jalan demokratik apabila pilihan raya umum diadakan pada awal tahun depan.
Apirat yang digambarkan oleh media tempatan sebagai antara leftenan yang paling dipercayai oleh Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha, berasal daripada keluarga tentera yang mana bapanya, mendiang Jen Suntorn Kongsompong adalah bekas ketua tentera di negara ini.
Pada tahun 1991, mendiang bapanya mengetuai tentera dalam rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Chatichai Choonhavan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli politik sama ada beliau akan mengikut jejak langkah mendiang bapanya ketika menghadapi konflik politik.
Media tempatan juga mendakwa Apirat memainkan peranan penting semasa rampasan kuasa pada 2014 ketika beliau menjadi komander Pengawal Diraja Divisyen Infantri Angkatan Tentera Pertama, sebuah pasukan tentera yang berpangkalan di Bangkok.
Ahli politik Pheu Thai yang lantang bersuara, Wattana Muangsook mengecam kenyataan Apirat bahawa pendirian jeneral itu mengenai rampasan kuasa tentera telah merosakkan iklim pelaburan dan perdagangan Thailand.
“Kenyataan ketua angkatan tentera hanya menjejaskan suasana perdagangan dan pelaburan. Ini menjadikan keadaan lebih buruk terhadap ekonomi yang mengalami kemelesetan, yang sebenarnya disebabkan oleh rampasan kuasa pada 2014,” katanya menerusi catatan dalam talian yang turut dipetik media.
Pemimpin Baju Merah Nattawut Saikua berkata pergolakan politik tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk rampasan kuasa oleh tentera apabila beliau menuduh perhimpunan jalanan dibuat khas untuk campur tangan pihak tentera.
Seorang lagi ahli politik daripada parti Pheu Thai, Chaturon Chaiseng berkata kenyataan Apirat itu boleh menjejaskan kredibiliti Thailand dan merosakkan reputasi negara ini di peringkat antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwan mempertahankan Apirat dengan berkata pendirian kontroversi Apirat itu tidak akan mengganggu perjalanan pilihan raya dijadualkan pada 24 Februari tahun depan.
Menurutnya, Apirat tidak membuat sebarang ancaman politik.
Ketua Angkatan Pertahanan negara Jen Pornpipat Benyasri turut mempertahankan kenyataan Apirat dan berkata rampasan kuasa tentera hanya akan dianggap sebagai pilihan terakhir untuk menangani ketidakstabilan politik.
Thailand berada di bawah pemerintahan tentera sejak Mei 2014 selepas tentera yang diketuai Ketua Angkatan Tentera ketika itu, Jen Prayut Chan-o-cha menggulingkan pentadbiran awam Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berikutan protes jalanan selama berminggu-minggu oleh ahli politik lawan.
Selepas rampasan kuasa itu, Prayut mengetuai Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara (NCPO) dan menjadi perdana menteri.
Thailand tidak asing kepada rampasan kuasa tentera, seperti menurut laporan media, tentera telah berjaya melakukan 18 rampasan kuasa sejak Revolusi Siam pada 1932 yang membawa demokrasi ke negara ini.