
Mohamad berkata desakan itu akan terus dilakukan walaupun kuasa besar Amerika Syarikat dan China memberi jaminan akan menjadikan laluan antarabangsa itu kawasan yang selamat.
Kebimbangan tercetus semula berikutan hampir berlaku perlanggaran 2 kapal perang kedua-dua negara itu di Laut China Selatan pada 30 Sept lalu.
Katanya saranan mengekalkan Laut China Selatan sebagai kawasan aman dibuat sejak daripada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah sekarang di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita mahu negara kuasa besar menghormati bahawa Laut China Selatan adalah kawasan aman dan berkecuali,” katanya.
Mohamad yang berada di sini sejak 18 Okt, mengulangi penegasan hubungan pertahanan yang baik dengan Singapura dalam lawatan pengenalan diri ke republik ini.
Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama 2 hari mulai 19 Okt.
Mohamad berkata dalam forum terbuka, kuasa-kuasa besar sentiasa menyatakan mereka menghormati undang-undang perairan antarabangsa namun realiti adalah sebaliknya.
“Itu pengakuan mereka tetapi dalam realitinya kita lihat baru-baru ini hampir berlaku perlanggaran 2 kapal perang di Laut China Selatan di kawasan Spratly Island.
“Semua negara Asean termasuk pengerusinya Singapura mengatakan kalau berlaku perlanggaran pada hari itu mesyuarat Menteri Pertahanan (ADMM) mungkin berlainan berlaku. Adakah jadi mesyuarat atau tidak atau mesyuarat nak bincang hal apa,” katanya.
Ketika di sini, Mohamad mengunjungi rakan sejawatannya Dr Ng Eng Hen di kementerian pada Khamis.
Beliau turut melawat Pusat Pengumpulan Maklumat di Pangkalan Tentera Laut Changi serta beramah mesra dengan trup Malaysia yang terlibat dalam Eksesais Bersama Lima.
Selain itu, beliau melawat Divisyen 3 Singapura dan mendengar taklimat mengenai Angkatan Tentera Singapura di samping meninjau pameran statik aset tentera dan sistem senjata serta menaiki kenderaan Light Strike Vehicle Mark II.
Semalam Mohamad membuat kunjungan hormat ke atas pemangku perdana menteri Teo Chee Hean.