Kerajaan digesa beku pembukaan hospital swasta baru

Kerajaan digesa beku pembukaan hospital swasta baru

Lebih banyak hospital swasta bermakna lebih banyak pengaliran keluar tenaga pakar dari hospital kerajaan.

Jeyakumar berkata, di Malaysia perkhidmatan perubatan merupakan satu ‘perniagaan besar’.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan patut mengenakan moratorium ke atas pembinaan hospital swasta baru, kata bekas Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj, yang percaya langkah itu akan menghentikan kemerosotan berterusan hospital kerajaan.

Doktor perubatan itu berkata lebih banyak hospital swasta bermakna lebih banyak pengaliran keluar tenaga pakar dari hospital kerajaan.

“Dari mana agaknya hospital baru swasta ini memperoleh tenaga pakar mereka?

“Mereka akan ‘mencurinya’ daripada hospital kerajaan, dan masalah kekurangan pakar di hospital kerajaan tidak akan berkesudahan.

“Kita tidak akan dapat menghentikan pengaliran keluar tenaga pakar dari hospital kerajaan sampai bila-bila,” beliau memberitahu satu program dianjurkan pertubuhan berkepentingan kesihatan awam, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, semalam.

Jeyakumar berkata kebanyakan pengamal perubatan kanan yang menyertai sektor swasta secara automatik tidak lagi melatih doktor baru.

Katanya kerajaan perlu memperkenalkan rancangan yang membolehkan pengamal perubatan kanan dikekalkan.

“Benar, anda mungkin mendapat pendapatan lebih baik di hospital swasta, tetapi dalam proses itu anda tidak lagi menyumbang kepada proses melatih doktor baru di hospital latihan.

“Jadi apakah yang akan berlaku? Semakin kurang tenaga pakar dihasilkan dan pesakit di hospital kerajaan juga tidak mendapat khidmat rawatan yang diperlukan.

“Masalah itu tidak berhenti di sini kerana rakyat daripada golongan B40 bergantung pada pakar ini untuk merawat mereka (di hospital kerajaan).

“Mereka terperangkap dalam kitaran ini akibat tidak mampu pergi ke hospital swasta kerana cajnya yang mahal,” katanya.

Jeyakumar berkata, skim insurans kesihatan sosial yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan juga merupakan satu masalah kerana ia terikat kepada perhubungan antara hospital swasta dengan hospital awam milik kerajaan.

“Jumlah perlindungan sebanyak RM10,000 mungkin pada mulanya tampak membantu, tetapi golongan B40 mungkin juga tidak faham bahawa fi di hospital swasta boleh melebihi angka RM10,000 itu dengan mudah.”

Kata beliau, sebaik sahaja seorang pesakit mendapatkan khidmat di hospital swasta, maka mereka tidak lagi dapat berpatah balik, bergantung kepada keparahan penyakit yang dihidapi.

“Ini akan menolak mereka lebih jauh ke dalam masalah yang sedia sukar apabila jumlah perlindungan itu habis,” kata beliau.

Jeyakumar berkata, ini merupakan kesilapan Dr Mahathir Mohamad sewaktu menjadi perdana menteri sebelum ini, apabila beliau membenarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memiliki hospital.

“Saya fikir Dr Mahathir silap kerana membenarkannya kerana GLC hanya berminat meraih keuntungan daripada hospital tersebut.”

Katanya di Malaysia perkhidmatan perubatan merupakan satu “perniagaan besar”.

“Di negara lain, penjagaan kesihatan dilihat sebagai hak asasi manusia.”

Pada Ogos lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan akan melancarkan satu skim insurans kesihatan sosial untuk golongan B40 tahun depan.

Skim tersebut merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan.

Beberapa pihak menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan skim tersebut disalah guna dan mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaannya sehingga kajian lanjut dijalankan.

Aktivis kesihatan juga menyuarakan kebimbangan kemungkinan kerajaan PH bersikap terburu-buru dalam membuat keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.