Hutang RM1 trilion alasan jual aset, tender semula projek

Hutang RM1 trilion alasan jual aset, tender semula projek

Hutang trilion disuapkan kepada rakyat walaupun agensi kerajaan dan badan asing tidak melaporkan hutang negara cecah jumlah itu, kata bekas perdana menteri.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan “hutang RM1 trilion” cuma dakyah yang diuar-uarkan Pakatan Harapan sebagai alasan untuk menjual aset negara dan mengurangkan program kebajikan.

Bekas perdana menteri juga berkata ia alasan untuk memperkenalkan cukai baharu serta meminta rakyat berkorban, dan untuk membuka tender semula projek-projek dan beri peluang kepada pihak tertentu.

“Kerajaan akan terus menggunakan ayat “trilion” kerana ia amat mudah difahami orang ramai walaupun pelbagai agensi kerajaan serta badan asing dan semua agensi penarafan antarabangsa tidak menyatakan hutang negara sebagai RM1 trilion,” katanya di Facebook.

Beliau merujuk kepada kenyataan Bank Dunia yang berkata hutang negara bukan berada ditahap luar biasa tinggi, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2020 yang dibentangkan baru-baru ini.

“Laporan rasmi RMK11 minggu lepas dari Unit Perancang Ekonomi merumuskan ‘Malaysia masih diberi penarafan yang menggalakkan dengan prospek stabil oleh agensi penarafan antarabangsa yang utama berdasarkan asas ekonomi negara yang kukuh’,” katanya.

Kerajaan mengumumkan nilai hutang negara mencecah RM1 trilion dalam satu ucapan kepada warga Jabatan Perdana Menteri 21 Mei lepas. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata nilai hutang yang tinggi itu memerlukan langkah pemulihan dan penyelesaian yang menyeluruh.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 24 Mei berkata hutang mencecah angka RM1 trilion apabila kerajaan komited untuk melakukan bayaran pajak, termasuk sewaan, penyelenggaraan dan caj lain, bagi sebahagian besar projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Kerajaan pada 9 Oktober dilapor bercadang memperkenalkan cukai baharu dalam usaha membayar hutang kerajaan, dan beberapa aset perlu dilepaskan bagi mendapatkan dana untuk menyelesaikan krisis hutang negara.

Antara projek yang dikaji semula pentadbiran Dr Mahathir adalah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), manakala yang ditender semula adalah kerja-kerja bawah tanah Transit Aliran Massa 2 (MRT2).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.