Penyokong Umno kepanasan cuba rempuh pagar mahkamah

Penyokong Umno kepanasan cuba rempuh pagar mahkamah

Kumpulan itu cuba memasuki perkarangan bangunan mahkamah kerana ingin bersama pemimpin Umno yang berada di lobi.

Ratusan penyokong Umno bangkit daripada protes duduk dan melaungkan ‘kami nak masuk’ ketika cuba merempuh pintu pagar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini
KUALA LUMPUR:
Keadaan bertukar kecoh apabila ratusan penyokong Umno cuba merempuh pintu pagar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, selepas lebih 4 jam mengadakan protes duduk dalam keadaan cuaca panas.

“Kami mahu masuk dengan aman, kasihan kami panas di luar ini, kami janji tidak buat kecoh,” kata kumpulan penyokong itu yang dihalang Unit Tempur Ringan (LSF) Polis Daerah Sentul.

Keadaan bertukar kecoh apabila berlaku insiden tolak-menolak antara penyokong dan anggota polis, sebelum keadaan kembali terkawal 20 minit kemudian.

Ratusan penyokong Umno yang berkumpul sejak 7 pagi tadi sebagai tanda solidariti kepada Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bertindak mengadakan protes duduk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis membenarkan hanya 50 ahli masuk ke perkarangan kompleks itu.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin RM2 juta terhadap Zahid yang menghadapi 45 pertuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah.

Hakim, Azura Alwi membenarkan Zahid membayar RM1 juta hari ini, manakala baki diselesaikan sebelum 26 Oktober ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan ahli parti itu bertenang dan tidak bertindak melulu.

Beliau turut menggesa ahli Umno memberi kepercayaan kepada hakim akan menjalankan tugas dengan profesional dan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Usaha untuk merencatkan Umno dengan menekan individu tertentu tidak akan mematahkan semangat kita. Kekuatan Umno terletak pada ahli yang ramai di seluruh negara.

“Jadi, saya harap ahli jangan bertindak melulu dan biar proses perundangan ini berjalan dengan lancar dan kita berdoa supaya Zahid akan dapat perbicaraan yang adil dan telus,” katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan bagi membincangkan hala tuju Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.