
Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) membuat penemuan itu sebelum kerajaan terdahulu mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja tentang pendatang tanpa izin di Sabah pada 2013.
“Parti membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk menjalankan kajian itu.
“Kami dapati walaupun majoriti secara aktif membeli MyKad melalui pegawai kerajaan yang korup, 20% selebihnya melaporkan mereka tidak pun cuba mendapatkan MyKad.
“20% itu melaporkan ada beberapa orang datang ke rumah mereka, minta maklumat mereka, dan kemudian datang balik dengan MyKad baharu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.
Atas sebab itu Upko sedar tiada cara lain kecuali menarik balik semua MyKad di Sabah dan menerbitkan kad pengenalan baharu kepada rakyat Sabah yang sebenar.
Beliau berkata Upko curiga dengan data demografi Sabah dalam laporan bancian 2010.
“Kami percaya ada percanggahan dalam data laporan mengenai penduduk Sabah.
“Laporan itu menunjukkan ada pertumbuhan penduduk yang drastik di Sabah sejak beberapa dekad tetapi kadar kelahiran hidup di paras normal.
“Mungkin data itu sudah dimanipulasi. Itu pandangan kami. Kadar kelahiran hidup betul tetapi kami tidak boleh terima data penduduk. Perkara ini mesti diselsaikan,” katanya.
Presiden Upko berkata data itu tiada di tangannya ketika ini tetapi dia merancang untuk menimbulkan hal itu di Parlimen tidak lama lagi.
Sementara itu, Tangau mengalu-alukan penubuhan 3 jawatankuasa yang akan mengkaji pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun Upko tidak diwakili dalam ketiga-tiga jawatankuasa.
“Apabila rancangan menubuhkan jawatankuasa itu pertama kali ditimbulkan, saya diberitahu akan ada wakil Upko tetapi akhirnya kami dikecualikan.
“Tidak apa kerana saya fikir lebih baik kami di luar jawatankuasa itu supaya kami boleh bersuara untuk rakyat dengan lebih bebas,” katanya.
Mengulas laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang diterbitkan semalam, Tangau mengalu-alukan penekanan kepada hak Orang Asal, seperti yang ditekankan dalam RMK-8.
Masalahnya ia tidak dilaksanakan secara berkesan dan dia bimbang perkara sama akan berulang.
“Saya fikir satu cara untuk memastikan rancangan itu dapat dijalankan secara berkesan ialah dengan memberikan autonomi kepada kami bagi memastikan semua rancangan bantuan untuk Orang Asal mencapai sasarannya.
“Jika Putrajaya terus menjadi pembuat keputusan, saya bimbang ketirisan tidak dapat dielak dan banyak program tidak mencapai matlamat,” katanya.