PBS gesa Imigresen benar UNHCR urus masalah pelarian di Sabah

PBS gesa Imigresen benar UNHCR urus masalah pelarian di Sabah

Nampak seolah-olah tangan kanan tidak tahu apakah yang dilakukan oleh tangan kiri

Jabatan Perangkaan boleh membantu tugas UNHCR menjalankan bancian populasi pelarian di Sabah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sealiran dengan banyak pihak lain sebelum ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) mendesak Jabatan Imigresen di peringkat persekutuan dan negeri menjelaskan sebab sebenar ramai pendatang asing menyerbu pejabat imigresen di sini minggu lepas.

Ahli Majlis Tertinggi PBS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Joniston Bangkuai memberitahu media bahawa Pengarah Imigresen Sabah Musa Sulaiman mengakui ia berlaku kerana jabatan itu mahu mendaftarkan anak pelarian Filipina, tetapi disanggah oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang berkata jabatan itu hanya menjalankan satu bancian.

“Nampak seolah-olah tangan kanan tidak tahu apakah yang dilakukan oleh tangan kiri.

“Kerajaan sebelum ini mengenakan sekatan ke atas pengeluaran kad IMM13 baru kepada pelarian pada 2013.

“Sekatan itu nampaknya ditarik balik pada 1 Okt lepas secara senyap-senyap, sehinggalah rakaman video menunjukkan sekumpulan besar pendatang menyerbu pejabat imigresen di Wisma Dang Bandang tular di media sosial.

“Rakaman video tersebut menyebabkan ramai rakyat Sabah marah. Kecaman orang ramai terhadap eksesais itu mungkin telah memaksa Musa membuat kenyataan pada 12 Okt memberitahu bahawa pemprosesan permohonan IMM13 telah dihentikan,” katanya.

Bangkuai berkata, orang ramai kesal kerana jabatan berkenaan menjalankan eksesais tersebut secara senyap-senyap tanpa membuat apa-apa pengumuman mengenainya sebelum tarikh 1 Okt.

“Siapa sebenarnya yang memulakan pendaftaran baru kad IMM13 ni?”

Bangkuai berkata, oleh sebab isu tersebut berkait rapat dengan keselamatan, maka adalah tidak kena sama sekali jabatan berkenaan tidak berunding terlebih dahulu dengan ketua menteri yang merupakan pengerusi Majlis Keselamatan Negeri.

Beliau juga mendapati alasan diberikan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali bahawa eksesais itu hanyalah bancian ke atas pemegang kad IMM13 sebagai sesuatu yang “meragukan”.

“Anak-anak pemegang kad IMM13 tidak perlu diberikan dokumen baru. Status mereka jelas tercatat dalam sijil kelahiran sekiranya mereka dilahirkan di Sabah.”

Bangkuai berkata, jika bancian perlu diadakan, Jabatan Perangkaan boleh membantu tugas Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menjalankannya.

“Malah Jabatan Perangkaan menjalankan bancian penduduk di seluruh negara setiap 10 tahun. Populasi pelarian IMM13 dan orang asing lain sudah tentu termasuk dalam bancian tersebut.

“Jabatan Imigresen boleh mendapatkan maklumat mengenai pemegang kad IMM13 dan anak-anak mereka daripada Jabatan Perangkaan,” katanya.

“Kami prihatin terhadap golongan ini atas asas kemanusiaan. Mereka bernasib malang dan terperangkap dalam sebuah dunia kelam akibat perang dan politik

“Bagaimanapun kita perlu ingat sebagai pelarian, pemegang kad IMM13 bukanlah manusia tanpa negara. Mereka ada negara dan boleh pulang ke sana apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.