
Timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming berkata indeks garis kemiskinan perlu dinaikkan jika mahu menjadi negara berpendapatan tinggi.
“Terdapat keperluan untuk menyemak semula garis kemiskinan ke paras lebih tinggi. Kita perlu berbincang dengan input daripada pakar-pakar teknikal seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menentukan setinggi mana,” katanya kepada pemberita di forum sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa di Sasana Kijang, Bank Negara hari ini.
Beliau berkata ketika kemiskinan mutlak berkurangan kepada 0.4%, perlu ada cara untuk mengenalpasti mereka yang bukan bawah paras kemiskinan tetapi boleh terjerumus ke dalamnya.
Ong dalam ucapannya berkata belum ada cubaan untuk mengkaji semula takrif kehidupan yang memuaskan atas paras kemiskinan.
“Jadi garis sedia ada terlalu rendah. Kita perlu naikkan garis kemiskinan untuk mencapai tahap ‘upah setakat cukup hidup’,” katanya.
Beliau berkata ukuran kemiskinan boleh disesuaikan mengikut kawasan bandar dan luar bandar, dan negeri dan wilayah, dengan mengambil kira kos kehidupan dan tahap pembangunan.
Beliau berkata Malaysia perlu mengikut langkah negara-negara maju dengan mengukur kemiskinan relatif berbanding kemiskinan mutlak.
“Kita perlu pertimbangkan perkara ini ketika Malaysia mencapai tahap pendapatan negara maju,” katanya.