Malaysia, EU meterai perjanjian kerjasama Januari 2019

Malaysia, EU meterai perjanjian kerjasama Januari 2019

PCA merupakan perjanjian komprehensif mengenai kerjasama 2 hala dan pelbagai hala merangkumi, antara lain politik, ekonomi, perdagangan, pelaburan, keadilan, dan budaya.

Dr Wan Azizah berkata, EU memahami industri minyak sawit adalah sumber pendapatan utama 650,000 pekebun kecil Malaysia.
BRUSSELS:
Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk menandatangani perjanjian kerjasama perkongsian (PCA) pada Januari 2019, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malaysia akan melihat perdagangan 2 hala dan pelaburan dengan lebih meluas apabila PCA ditandatangani dengan EU, katanya selepas menemui Federica Maria Mogherini, Wakil Tinggi EU bagi Dasar Luar Negeri dan Dasar Keselamatan pada Khamis.

PCA merupakan perjanjian komprehensif mengenai kerjasama 2 hala dan pelbagai hala merangkumi politik, ekonomi, perdagangan, pelaburan, keadilan, budaya, pendidikan, sains dan teknologi, penjagaan kesihatan, pertanian, pelancongan, tenaga, trafik dan alam sekitar.

Negara anggota Asean perlu menandatangani PCA dengan EU untuk melayakkannya menyertai perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Dalam perbincangan kami, Federica Maria menyatakan EU menganggap Malaysia sebagai rakan penting di rantau Asean dan bersedia untuk menjalin kerjasama demi kebaikan bersama.

“Kami turut berbincang mengenai industri minyak sawit dan EU memahami bahawa ia adalah sumber pendapatan utama 650,000 pekebun kecil Malaysia.

“Dengan penilaian semula ini, PCA antara Malaysia dan EU telah dirancang untuk ditandatangani pada Januari tahun depan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata aspek FTA Malaysia dan EU akan diperincikan secara lebih mendalam, terutamanya dari segi implikasinya kepada ekonomi negara.

Dr Wan Azizah tiba di sini pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-12 (ASEM) yang bermula semalam.

Sidang Kemuncak ASEM selama 2 hari itu menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan 51 negara Eropah dan Asia, wakil daripada EU dan setiausaha agung Asean.

Beliau dijangka menghadiri sesi penuh sidang kemuncak itu, menyampaikan kenyataan pada sidang pleno kedua, selain dijadual mengadakan pertemuan 2 hala dengan perdana menteri Belanda, Ireland dan Norway, di luar sidang kemuncak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.