Perkataan kurang sopan, Zuraida bawa Bung ke jawatankuasa dewan

Perkataan kurang sopan, Zuraida bawa Bung ke jawatankuasa dewan

Perbuatan itu dilihat mencemarkan prestij dan nama baik Dewan Rakyat.

Bung mengakui kesilapannya mengeluarkan perkataan kesat serta menganggapnya sebagai tidak sopan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Usul untuk merujuk Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatannya mengeluarkan kata kesat akan dibahaskan hari ini.

Usul tersebut dikemukakan pada sidang Parlimen lalu oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata kata-kata Bung boleh dianggap sebagai menghina dewan.

“Dewan yang mulia ini memandang serius perbuatan Kinabatangan. Penggunaan perkataan yang kurang sopan oleh Kinabatangan telah menyinggung Ahli Parlimen lain, terutamanya Ahli Parlimen wanita kerana ia mencemarkan prestij dan nama baik Dewan Rakyat,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Datuk Rashid Hasnon meminta Bung menarik balik perkataan perkataan kesat itu.

Pada 7 Ogos lalu, Bung mengakui kesilapannya mengeluarkan perkataan “f*** you” dan “main pela***” serta menganggapnya sebagai tidak sopan.

“Saya dari awal tidak merujuk sesiapa, saya ingin menarik balik perkataan tersebut, saya menarik balik. memang ia tidak sopan pun,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh gara-gara perkataan “f*** you” dan “main pela***”.

Ia bermula apabila, Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) bangkit mencelah ucapan Bung berkenaan harga di pasar borong Selayang tidak turun selepas GST dimansuhkan.

Willie bertanya sama ada Bung pergi pasar borong tersebut atau ke casino, menyebabkan Bung naik angin.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.