
Bekas perdana menteri itu menasihatkan PH tidak memperlekehkan kebijaksanaan pengundi, selepas memperdaya rakyat kerana gagal mengotakan janji dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 lalu.
Katanya, ketika menjadi perdana menteri, beliau berjaya menghapuskan beberapa tol.
“Kita berupaya membantu Sarawak menghapuskan semua tol pada 2016, menghalang sebarang kenaikan tol di lebuh raya dimiliki PLUS dan membina lebuh raya baru bebas tol seperti Central Spine Road (CSR) dan Lebuhraya Pan Borneo.
“Mengapa PH tidak dapat melakukan sedemikian?” soalnya dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, terpulang kepada rakyat jika mahu berhenti “bermimpi” untuk memiliki lebuh raya tanpa tol di negara ini.
Baru dilaporkan berkata, dasar kerajaan jelas dan memutuskan tidak akan melaksanakan lebuh raya tanpa tol sehingga kewangan negara stabil serta dipulihkan ke tahap sihat.
Najib berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan menghentam Barisan Nasional (BN), jika menteri daripada kerajaan terdahulu mengeluarkan kenyataan seperti Baru.
“Jika seorang menteri BN dari kerajaan dahulu berkata seumpamanya, iaitu rakyat boleh terus mimpi, kemungkinan besar Kit Siang sudah keluarkan sekurang-kurangnya 10 kenyataan akhbar untuk menghentam BN dan kemudiannya tak pasal-pasal melibatkan saya dan menggunakan perkataan kleptokrasi berpuluh kali.”
Pada 11 Oktober lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, lebuh raya tanpa tol tidak dapat dilaksanakan di negara ini kerana siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baru, jika kerajaan memansuhkan kutipan tol.
“Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya. Mereka mahu meraih keuntungan, tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?
“Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya sambil menambah beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan janji lebuh raya bebas tol dalam manifesto pilihan raya PH.
Janji ke-6 dalam manifesto PH menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.
Halaman 29 manifesto PH menyatakan ia akan mengambil alih konsesi lebuh raya dengan memberi pampasan adil kepada syarikat konsesi.