Najib kecewa laporan kajian RMK11 tak sentuh manifesto PH

Najib kecewa laporan kajian RMK11 tak sentuh manifesto PH

Bekas perdana menteri itu berkata, laporan itu sekadar lanjutan daripada usaha yang dimulakan kerajaan terdahulu pimpinannya.

KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Najib Razak kecewa kerana tiada perkara baru dalam laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas perdana menteri berkata, laporan itu langsung tidak menyentuh janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 lalu, sebaliknya ia sekadar lanjutan daripada usaha yang dimulakan kerajaan pimpinannya.

“Tak ada banyak perkara baru yang terkandung dalam pembentangan tersebut,” katanya merujuk laporan kajian RMK11 dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad petang tadi.

“Ada satu yang paling jelas ialah tidak disebut-sebut tentang janji pilihan raya sama sekali. Segala-gala akujanji yang dibuat kepada rakyat tidak disebut langsung dalam pembentangan tersebut.

“Maknanya, apa-apa yang telah dijanjikan itu pasti tidak akan ditunaikanlah, termasuk penghapusan tol, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan sebagainya.”

Kajian Separuh Penggal RMK11 akan dibahaskan di Dewan Rakyat selama 2 minggu, sebelum digulung Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pelan pembangunan itu mengandungi pelaksanaan dasar baru dan sedia ada yang ditambah baik berpandukan keperluan ekonomi semasa, dengan tumpuan utama menjurus kepada pembangunan infrastruktur rakyat.

RMK11 ialah rancangan pembangunan 5 tahun (2016 hingga 2020) terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020.

Sementara itu, Najib sedih dengan penahanan bekas timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), petang tadi.

“Saya berharap beliau tabah menghadapi dugaan ini.

“Saya juga berdoa supaya prinsip ‘rule of law’ ini dan sistem keadilan yang telus, betul-betul dibuktikan sepanjang perjalanan kes ini nanti.”

SPRM dalam satu kenyataan berkata, Zahid ditahan berhubung siasatan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana sebuah yayasan.

Agensi anti-rasuah itu berkata, Zahid akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.