
Antara langkah utama ialah meningkatkan keupayaan Bumiputera dalam pekerjaan bergaji tinggi, meningkatkan kawalan berkesan Bumiputera dan pemilikan korporat yang mampan serta membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya tahan bagi menembusi pasaran dunia.
Program khas akan dilaksanakan untuk Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak di kawasan pedalaman dan terpencil serta kumpulan masyarakat India dan Cina terpilih bagi membangunkan potensi ekonomi mereka dalam membasmi kemiskinan.
Menurut laporan itu, program menjana pendapatan dan penyediaan keperluan asas juga akan terus diberikan kepada keluarga miskin dan berpendapatan rendah, seperti tawaran kerajaan untuk meningkatkan pembangunan inklusif serta kesejahteraan semua rakyat Malaysia.
Usaha juga akan dipergiatkan bagi meningkatkan keupayaan isi rumah B40 dalam mendapatkan pekerjaan dan produktiviti lebih baik serta mempromosikan keusahawanan.
“Meningkatkan pendapatan dan daya beli rumah B40 adalah penting untuk meningkatkan kualiti hidup, ketahanan dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan secara keseluruhan.
“Inisiatif utama termasuklah meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran di semua peringkat, menyediakan program pembangunan keusahawanan yang komprehensif dan bersepadu serta mempromosikan penggunaan teknologi moden dan amalan terbaik.”
Mengenai kesejahteraan masyarakat, kerajaan menyasarkan keperluan kumpulan sasaran khusus, iaitu kanak-kanak, belia, wanita, orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga.
Fokus akan diberikan untuk menjaga keperluan, kepentingan dan memupuk potensi kanak-kanak.
“Di samping itu, akses kepada latihan kepimpinan dan kemahiran, serta peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk belia juga akan dipertingkatkan.
“Penyediaan sistem sokongan bersepadu dan pembangunan persekitaran kondusif akan bertambah baik dalam meningkatkan penyertaan wanita, warga emas dan OKU dalam aktiviti ekonomi dan komuniti serta memastikan kesejahteraan dan ketahanan keluarga.”
Menurut laporan itu, usaha akan ditumpukan kepada peningkatan daya beli, menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik, meningkatkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan, menjadikan negara lebih selamat serta mempromosikan nilai mulia dan gaya hidup aktif.
“Penguatkuasaan untuk membendung pembekalan dan manipulasi harga akan dipergiatkan, sementara lebih banyak kemudahan menawarkan barangan dan perkhidmatan pada harga berpatutan akan disediakan untuk menangani kenaikan kos sara hidup.
“Program perumahan akan diteruskan melalui penyediaan perumahan berkualiti dan mampu dimiliki bagi golongan miskin, isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.”
Bagi sistem penjagaan kesihatan, kerajaan akan mempertingkatkanya dengan mewujudkan sistem penjagaan kesihatan mampan, mengoptimumkan sumber kewangan dan mengupayakan kerjasama lebih baik antara pihak berkepentingan.
“Usaha juga akan tertumpu untuk menjadikan negara lebih selamat dengan memperkuatkan agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta meningkatkan pencegahan jenayah.
“Inisiatif akan dilaksanakan dalam mempromosikan nilai mulia untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang progresif dan bersatu padu. Dalam membangunkan identiti Malaysia, usaha dan inisiatif akan terus diperkukuh untuk mengekalkan sifat-sifat kepelbagaian dalam masyarakat.
“Di samping itu, keutamaan juga akan diberi dalam membina masyarakat yang harmoni dan makmur melalui peningkatan integrasi sosial dan mempromosikan perpaduan negara.”
Kerajaan turut akan mempromosikan gaya hidup aktif dan sukan kekal sebagai salah satu platform.
“Satu pendekatan baru untuk sukan akan dimasukkan dalam rumusan pelan tindakan sukan kebangsaan bagi mempromosikan kecemerlangan sukan.”