
Robert Pakpahan berkata kerajaan sedang melihat langkah memotong kadar cukai ke atas bon Indonesia daripada 15% bagi pelabur tempatan dan 20% pelabur asing dari negara yang tidak berkongsi perjanjian cukai.
Peraturan baru itu dijangka dikeluarkan pada penghujung tahun ini, kata Pakpahan kepada pemberita.
Pakpahan juga memaklumkan rancangan menetapkan kadar cukai ke atas dana infrastruktur dan hartanah kepada 5%, dan membenarkan pelaburan kurang 500 bilion rupiah (AS$33 juta) dikecualikan cukai.
Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati berkata, kerajaan sedang menyemak insentif ke atas instrumen kewangan dan pelaburan bagi menarik dana asing.
“Kami merancang menjadikan pasaran modal Indonesia lebih menarik kepada pelabur isi rumah dan juga profesional,” katanya.
Indrawati juga berkata, kerajaan turut melihat kemungkinan untuk mengetepikan cukai nilai-tambah ke atas sektor perkhidmatan dan cukai pendapatan sedia ada serta cukai mewah yang dikenakan ke atas hartanah. Beliau tidak mengulas lanjut.
Penggubal dasar Indonesia sedang menimbangkan beberapa langkah bagi memperkukuh pasaran modal negara itu dan menyokong pertumbuhan sektor tertentu.
Rancangan berkenaan menjadi lebih perlu berikutan tekanan ke atas mata wang rupiah dan kenaikan perolehan bon pada saat aktiviti penjualan meluas di pasaran sedang membangun.
Kemelut pasaran kebelakangan ini mendedahkan pergantungan Indonesia pada aliran masuk modal bagi menutup defisit akaun semasanya yang besar dengan pegangan asing ke atas bonnya sekitar 37% atau AS$56 bilion pada Okt 16, menurut data kerajaan.