Dr M: Hanya 2 penggal untuk PM, MB

Dr M: Hanya 2 penggal untuk PM, MB

Perdana menteri berkata, had memegang jawatan tertinggi itu ialah sebahagian transformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri tidak melebihi 2 penggal.

Perdana menteri berkata, ia adalah sebahagian transformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan.

“Perdana menteri juga tidak akan memegang portfolio lain,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Parlimen hari ini.

PH sebelum ini hanya memaklumkan tempoh perkhidmatan 2 penggal untuk perdana menteri sahaja.

Dr Mahathir berkata, tadbir urus kerajaan perlu diperbaiki dan ketelusan akan ditingkatkan dalam usaha membasmi amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita telah memulakannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

“Langkah tegas dan berkesan akan dilaksana untuk mempertingkatkan mekanisme semak dan imbang di semua peringkat.

“Sistem pentadbiran undang-undang juga akan dimantapkan dengan mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya supaya ia diuruskan 2 individu berlainan.”

Reformasi pengurusan dana awam

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan melakukan reformasi ke atas mekanisme pengurusan dana awam, termasuk mengkaji semula Akta Prosedur Kewangan 1957 dan mempercepatkan pelaksanaan sistem perakaunan akruan.

“Strategi yang akan dilaksanakan adalah mempertingkatkan sistem belanjawan negara, menambah baik pengurusan perolehan serta memperkukuh rangka kerja pengurusan prestasi, pemantauan dan penilaian.”

Katanya, hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk peranan pihak berkuasa tempatan juga akan ditambah baik dengan mengembalikan semangat federalisme.

“Kerajaan negeri akan diperkasakan melalui proses pengagihan kuasa pusat bagi beberapa fungsi, termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan perlindungan alam sekitar.”

Autonomi penuh Parlimen

Dr Mahathir berkata, kerajaan PH turut akan memberi autonomi penuh kepada Parlimen.

“Kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkat dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

“Sistem Jawatankuasa Pemilih akan diwujudkan. Jawatankuasa ini akan memperakui pelantikan jawatan utama di SPRM, SPR, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.”

Beliau berkata, had umur mengundi turut akan diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksanakan dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses adil kepada media.

“Had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenalkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.