Ratusan bantah kenaikan gaji minimum ‘tak seberapa’ di luar Parlimen

Ratusan bantah kenaikan gaji minimum ‘tak seberapa’ di luar Parlimen

Kumpulan yang menggelar diri 'Bantah1050' itu menuntut gaji minimum dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM1,500.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 orang berhimpun di luar bangunan Parlimen bagi membantah kenaikan gaji minimum yang tidak seberapa, tetapi dihalang polis daripada menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Kumpulan itu yang menggelar diri “Bantah1050”, merujuk gaji minimum baru, susulan kenaikan RM50 yang diumumkan Jabatan Perdana Menteri bulan lalu, melaungkan slongan ketika beberapa wakil mempertikaikan tindakan polis yang enggan membenarkan mereka memasuki kawasan Parlimen.

Bantah1050 ialah gabungan terdiri daripada Alternatif Sosialis, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), Malaysia Muda, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Terdahulu, mereka berarak dari Padang Merbok ke Parlimen dan menuntut gaji minimum dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM1,500.

Beberapa ahli Parlimen dan pemimpin politik, termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut berucap dalam himpunan itu.

Hassan berkata, kenaikan RM50 tidak munasabah dan kerajaan perlu menjaga kebajikan pekerja yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

“Saya akan sampaikan mesej anda kepada Kabinet dan menteri berkaitan supaya perubahan boleh dibuat dalam masa terdekat.”

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan berkata, kenaikan gaji minimum itu dapat merangsang ekonomi negara.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, bantahan akan diteruskan jika tiada perbincangan rasmi diadakan berhubung perkara itu dan beliau memberi amaran kepada tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

“Kami mahu maruah kami dikembalikan.”

Kira-kira 20 wakil kemudiannya dibenar menyerahkan memorandum gaji minimum kepada Kulasegaran.

Menteri itu berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.