Putrajaya tiada rancangan gubal akta anti lompat parti

Putrajaya tiada rancangan gubal akta anti lompat parti

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rakyat mempunyai hak berpesatuan seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Liew Vui Keong berkata, kerajaan terbuka kepada cadangan penambahbaikan dan penggubalan undang-undang daripada pelbagai pihak.
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata tidak bercadang menggubal undang-undang anti lompat parti.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpandangan setiap warganegara mempunyai hak untuk berpersatuan, sejajar Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang daripada pelbagai pihak.

“Berkenaan hak untuk bebas berpersatuan ini turut dibincangkan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor V Nordin Salleh & Anor (1992) masih terpakai,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang anti lompat parti bagi memastikan wakil rakyat yang meninggalkan parti, mengosongkan kerusi yang dimenangi demi tidak mengkhianati sokongan pengundi.

PAS sebelum ini mencadangkan kerajaan segera menggubal undang-undang anti lompat parti bagi memelihara integriti dan kesetiaan ahli Parlimen serta Adun kepada parti masing-masing.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kerajaan perlu menggubal undang-undang agar tiada wakil rakyat mengosongkan kerusi untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) demi kepentingan individu tertentu.

Pada 2010, Karpal Singh mengulangi desakannya supaya kerajaan mempertimbangkan penggubalan undang-undang anti lompat parti atau kod etika untuk ahli politik bagi memastikan wakil rakyat yang keluar parti, mengosongkan kerusi dimenangi mereka.

Pada 2015, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menggesa kerajaan menggubal undang-undang sama bagi memastikan kesetiaan dan integriti dalam politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.