MRT2: Guan Eng ulas selepas mesyuarat Kabinet

MRT2: Guan Eng ulas selepas mesyuarat Kabinet

Menteri akan mengulas isu sekitar kerja-kerja bawah tanah MRT2 dan penamatan kontrak MMC-Gamuda KVMRT (T) selepas mesyuarat jemaah menteri akan datang.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata dia akan mengulas isu sekitar kerja-kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan penamatan kontrak MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd selepas mesyuarat jemaah menteri akan datang.

Beliau berkata penamatan kontrak syarikat bertanggungjawab itu adalah keputusan jemaah menteri.

“Ianya adalah keputusan yang dibuat oleh Kabinet. Jika terdapat mana-mana perubahan, ianya mestilah diputuskan oleh Kabinet.

“Saya akan ulas perkara ini selepas mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen apabila ditanya adakah penamatan kontrak MMC-Gamuda KVMRT (T) tindakan yang tepat.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kerja-kerja bawah tanah projek MRT2 yang belum selesai akan ditender semula menerusi proses tender terbuka antarabangsa, bagi mendapat pakej harga yang lebih baik.

MMC-Gamuda mendakwa penamatan kontrak itu akan menjejaskan lebih 20,000 tenaga kerja dan memberi kesan terhadap 600 syarikat dari rantaian sokongan yang terbabit.

MMC-Gamuda usaha sama 50:50 antara Gamuda dan MMC Corporation Bhd.

Sementara itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata kepimpinan parti tidak berpuas hati dengan segelintir pemimpin menerima gelaran “Datuk” daripada ketua negeri masing-masing.

Lim berkata DAP tidak mahu budaya Barisan Nasional diserap masuk ke dalam parti itu.

“Fokus kita adalah berkhidmat kepada rakyat. Jika ada penghargaan, ianya juga mestilah datang daripada rakyat atas perkhidmatan yang diberi.

“Saya bukan ‘Datuk’ tapi sudah menjadi pemimpin selama ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.