Lupakan stoking, Asyraf desak Maszlee bantu sekolah pedalaman di Sabah

Lupakan stoking, Asyraf desak Maszlee bantu sekolah pedalaman di Sabah

Ketua Pemuda Umno mendesak menteri mengutamakan bantuan kepada sekolah pedalaman daripada sekolah bandar.

Asyraf berkata sekolah di bandar rata-rata dalam keadaan lebih baik berbanding sekolah pedalaman.
PETALING JAYA:
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Menteri Pendidikan Maszlee Malik ketepikan isu warna stoking murid-murid dan segera membantu sekolah pedalaman di Sabah yang daif.

Ketua Pemuda Umno berkata sekolah pedalaman di Sabah masih bergantung kepada set penjana elektrik dan kediaman guru pula dalam keadaan uzur.

Asyraf berkata demikian kepada FMT sekembalinya daripada menjelajah bahagian Tawau, Kalabakan, Semporna, Keningau dan Pensiangan.

“Ini lebih bermakna untuk disalurkan bantuan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan di kawasan bandar yang rata-rata jauh lebih baik keadaannya,” katanya.

Bekas timbalan menteri itu memberitahu FMT dia dan pasukannya mengharungi jalan hutan dan sungai selama 2 jam untuk ke perkampungan di daerah Pagalongan yang terdapat 5 buah sekolah.

“Sekolah Kebangsaan Logongon, SK Salong, SK Babalitan, SK Sasandukon, SK Saliku semuanya berada dalam keadaan daif dan memerlukan bantuan,” katanya.

Asyraf percaya jika Maszlee melawat sekolah-sekolah pedalaman itu, “pasti akan tersentuh hati melihat keadaan infrastruktur yang sangat uzur”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.