
“Soal jambatan ini telahpun dibentangkan masa Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi dan juga satu jumlah pampasan besar yang telah dibayar kepada kontraktor berkenaan.
“Soal sekarang ini sama ada jambatan bengkok itu memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas cadangan kerajaan meneruskan projek pembinaan jambatan bengkok yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sejak 1996 lagi.
Perbincangan mengenai jambatan itu menggantikan Tambak Johor yang digunakan sejak 1923, menemui jalan buntu sehinggalah ia dibatalkan pada 2006 ketika Abdullah menjadi perdana menteri.
Ia digelar jambatan bengkok kerana jambatan itu direka untuk melengkung dalam perairan negara, sebelum bertemu bahagian tambak di Singapura.
Perobohan tambak dalam perairan negara dijangka membolehkan kapal dagang melalui Selat Tebrau dan merancakkan industri di Tanjung Pelepas serta Pasir Gudang, dan melancarkan aliran laut di Selat Tebrau.
Hari ini, Najib berkata, semasa menerajui kerajaan, beliau mencadangkan pembinaan laluan baru bagi menggantikan laluan sedia ada, namun cadangan itu ditolak perdana menteri Singapura.
“Mereka tidak setuju kerana mereka kata laluan Causeway (Tambak Johor) itu boleh pakai untuk 30 tahun lagi.”
Katanya, jika separuh daripada laluan lama digantikan laluan baru dan separuh daripada bahagian lama dikekalkan, pembinaan itu akan kelihatan pelik.
Sementara itu, Najib enggan mengulas kenapa beliau dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
“Saya tak nak komenlah pasal tu,” kata ahli Parlimen Pekan itu.