Anjing dibela di vila mewah, balasan menjadi peneman setia

Anjing dibela di vila mewah, balasan menjadi peneman setia

Vila mewah itu dilengkapi penghawa dingin, kolam renang, spa, trampoline dan laman rumput untuk Sylar beristirehat dan menjalankan aktiviti.

Seorang lelaki menyewa sebuah tanah seluas 8,600km persegi semata-mata untuk membina sebuah vila bernilai setengah juta dolar untuk anjing kesayangannya.

Ini kerana, menurut lelaki itu, Zhou Tianxiao anjingnya, Sylar adalah sebab kehidupannya kini lebih selesa dan direstui.

Vila mewah yang dilengkapi penghawa dingin, kolam renang, spa, trampoline dan laman rumput untuk Sylar beristirehat dan menjalankan aktiviti itu berlokasi di wilayah Shunyi di Beijing.

Menurut Zhou yang baru berusia 31 tahun, kedua-dua ibu bapanya bercerai sewaktu dia masih kecil dan menyebabkan dirinya berubah menjadi seorang kanak-kanak rebel.

“Ketika remaja, saya lebih memilih untuk menghabiskan masa di kafe internet, bermain game, minum dan berakhir dengan pergaduhan. Itulah kehidupan saya,” katanya.

Bagaimanapun, ketika hidupnya benar-benar sukar ekoran tiada pekerjaan dan hanya menumpang bersama neneknya, dia mengambil keputusan membela Sylar.

“Sylar mengubah hidup saya. Jadi saya akan memberinya segala yang saya peroleh sekarang,” Zhou memberitahu China Daily.

Tambahnya, untuk lebih 10 tahun selepas ibu bapanya berpisah, dia hilang halang tuju dan zaman keremajaannya.

“Saya gagal memuaskan hidup dengan sekadar bermain komputer atau apa sahaja yang saya lakukan pada waktu itu.

“Sehinggalah saya memilih seorang rakan yang setia. Hanya seekor anjing yang akan setia dengan pemiliknya walau apa jua situasi pemiliknya sekalipun,” tambahnya lagi.

Seperti yang dijangka, Sylar bukan sahaja menjadi peneman setia malah mengubah hidup Zhou, sehingga dia berasa kembali dikasihi. Bagi Zhou, Sylar bukan lagi haiwan peliharaan, ia lebih daripada seorang ahli keluarga.

Sejak memiliki Sylar, Zhou melatihnya melakukan pelbagai aksi yang dipelajarinya menerusi video pakar latih anjing dari YouTube.

Sylar pula pantas mempelajari pelbagai helah dan aksi seperti memberi ‘high-five’, berlakon mati, berjalan seperti manusia dan sebagainya.

Zhou merakam semula aksi-aksi Sylar dan memuatnaiknya di laman Youtube sehingga anjing tersebut menjadi bintang dalam talian dan mempunyai ribuan pengikut selain jutaan tontonan bagi videonya.

Populariti Sylar juga membimbing lelaki itu membuka perniagaan makanan anjing dan setor permainan dalam platform e-dagang terkenal China, Taobao.

Zhou menggunakan pendapatan perniagaannya untuk membina vila mewah dan meluangkan masa bersama Sylar.

“Tanpa Sylar saya mungkin tidak berada di sini. Saya mungkin ketagih merokok atau alkohol, bermain game sepanjang hari dan membazirkan masa sia-sia sahaja,” kata Zhou.

Kini, vila Sylar dikendalikan oleh lebih 10 kakitangan dan teman wanita Zhou, Liu Wei.

Vila Sylar dibuka untuk awam pada setiap hari Isnin dan anjing peliharaan awam boleh menggunakan kemudahan tidur dalam bilik penghawa dingin yang disertakan bantal gergasi serta sesi bermain di laman, mandi berubat, spa serta urut untuk bayaran yang berpatutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.