
Prof Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata, media sepatutnya memaparkan isu kesihatan mental atau pesakit mental secara positif, bukannya menyorot sisi negatifnya atau melaporkan tentang pesakit mental yang agresif.
“Media hanya ceritakan bagaimana mereka cuba membunuh diri, di mana, nama mereka dan menunjukkan gambar mereka,” katanya dalam satu forum awam bertajuk “Working Together To Prevent Suicide’” di sini baru-baru ini.
“Pernahkah media paparkan berita mengenai pesakit yang sudah sembuh kepada masyarakat?,” katanya.
Menurut kajian Kementerian Kesihatan bagi 2017, 29.2% rakyat dewasa mengalami masalah kesihatan mental, sementara 12.1% kanak-kanak menghadapi masalah sama, sebahagian besarnya kerana masalah kemiskinan bandar dan keganasan rumah tangga.
Dalam kalangan anak muda pula, 10% mengalami masalah tertekan, 20% masalah kemurungan dan 40% masalah kegelisahan.
Beliau berkata, media sepatutnya tidak memaparkan berita tentang cubaan membunuh diri atau sebagainya kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan pesakit mental dan semakin menyukarkan mereka meneruskan kehidupan.
“Media perlu berhati-hati dalam menyiarkan berita sebegitu, dan pada setiap masa berusaha melindungi pesakit daripada aib dan pandangan negatif masyarakat,” katanya.